Ad

Thursday 26 June 2014

Harimau Selatan tunaikan janji'

Oleh SHAHRIL NIZAM ABDULLAH
shahril.abdullah.com.my
 
TUNKU ISMAIL (kanan) menyerahkan Piala Liga Super 2014 kepada kapten Johor DT, Aidil Zafuan Abdul Razak sambil para pemain bersorak gembira di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru malam tadi.

OLE OLE OLE.. Kitalah juara..
Itulah laungan dan nyanyian daripada penyokong tegar Johor Darul Takzim (Johor DT) sebaik sahaja pasukan kesayangan mereka tiba dalam perarakan trofi juara Liga Super Malaysia 2014 di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, malam tadi.

Disaksikan hampir 30,000 penonton, majlis penyampaian medal dan trofi Liga Super turut diserikan dengan kehadiran Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim merangkap Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) yang turut sama mencemar duli meraikan kejayaan merangkul trofi liga buat kali pertama sejak 24 tahun.

Turut sama, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin.

Dalam ucapannya, Tunku Ismail menjelaskan bahawa beliau telah menunaikan janji untuk mengembalikan semula kegemilangan bola sepak Harimau Selatan dengan membawa trofi Liga Super ke bumi Johor.

"Pada 4 September 2012 ketika perlawanan antara Johor FC dan pasukan Johor dalam Piala Malaysia, ada seorang insan berumur 27 tahun (beliau) yang turun ke tengah padang dan berjanji untuk mengembalikan semula kegemilangan bola sepak Johor.

"Syukur kerana malam ini (semalam), janji ini telah berjaya ditunaikan. Saya ingin ucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua pemain dan peminat Johor DT di atas kejayaan yg bersejarah ini," kata Tunku Ismail.

Selepas menanti selama 24 tahun, kejayaan Johor DT ini sudah pastinya menggembirakan seluruh penyokong Harimau Selatan yang melalui pelbagai ranjau dan duri sejak penubuhannya.

Jurulatihnya, Bojan Hodak menyifatkan kejayaan tersebut sudah pasti merupakan satu lagi permulaan buat Johor DT merangkul lebih banyak lagi gelaran pada masa hadapan.

"Perjalanan menuju kejayaan ini amat memenatkan, namun hasilnya sesuatu yang manis untuk diraikan.

"Kami berjaya mencapai apa yang kami mahu dan ia adalah satu kejayaan yang layak diraikan oleh para pemain dan pegawai pasukan ini.

"Ingin saya tekankan bahawa ini semua adalah usaha TMJ, beliau memang mahu mengubah senario bola sepak negeri ini, jadi beliau juga layak merasai kejayaan ini," jelas Bojan semalam.

Selepas penyampaian tersebut, para pemain dan TMJ bersama-sama membawa trofi berkenaan melakukan victory lap di hadapan penyokong Harimau Selatan sambil dimeriahkan lagi dengan percikan bunga api di angkasa.

SUMBER-KOSMO ONLINE 27.6.14

No comments:

Post a Comment