Ad

Sunday, 22 June 2014

Qari, qariah dari Malaysia muncul johan Tilawah Antarabangsa Kali Ke-56

 
TUANKU Abdul Halim Mu'adzam Shah menyampaikan trofi kepada Ahmad Tirmizi Ali pada majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-56 di Dewan Merdeka, PWTC malam tadi.
KUALA LUMPUR 21 Jun - Malaysia mengungguli Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-56 yang berakhir malam ini apabila muncul johan bagi semua kategori dipertandingkan.

Qari dan qariah negara iaitu Ahmad Tirmizi Ali serta Hanimzah Jalaluddin muncul johan kategori tilawah selepas masing-masing mendapat markah 93.30 dan 90.67 peratus.

Mereka membawa pulang hadiah berupa jongkong emas bernilai RM70,000 sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (Yapeim), wang tunai RM40,000 dan piala iringan.
 
(DARI KIRI) johan hafazan lelaki , Mohd. Erasyad Abdullah, johan tilawah, Ahmad Tirmizi Ali, johan tilawah wanita, Hanimzah Jallaluddin dan johan hafazan wanita, Noorhafizah Mohd. Shafie bersama trofi di PWTC, malam tadi.
Dua lagi wakil negara, Mohd. Ersyad Abdullah dan Noorhafizah Mohd. Shafie pula masing-masing diumumkan sebagai johan bagi kategori hafazan yang julung kali dianjurkan serentak dengan majlis tilawah.

Mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM30,000 termasuk RM10,000 yang disumbangkan Yapeim.

Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah berkenan menyampaikan hadiah kepada para pemenang dan menyempurnakan majlis penutup tilawah itu yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).

Berangkat sama, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajah Haminah.

Turut hadir, Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri, Toh Puan Raghad Kurdi Taib; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom serta Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam, Datuk Othman Mustapha.

Dalam pada itu, qari dari Turki, Mehmet Bilir dan qariah Filipina, Rahima Pandoniongan Amerol masing-masing muncul naib johan bagi kategori tilawah, sementara tempat ketiga dimenangi qari Indonesia, Ihsan Nuzula Zamri dan qariah Brunei, Siti Huzzaimah Yadey Rosli.

Kategori hafazan pula menyaksikan hafiz dari Arab Saudi, Abdullah Mohammed Al Kayri dan hafizah dari Tunisia, Soumaya Cheikh Ali menduduki tempat kedua, manakala tempat ketiga masing-masing dimenangi peserta Qatar, Abdullah Hamad Salim Hamad Abu Sheraidah (bahagian lelaki) dan wakil Senegal, Ndombor Sene (bahagian wanita).

Bagi kategori tilawah, naib johan qari dan qariah membawa pulang RM30,000, ketiga (RM20,000) manakala naib johan bahagian lelaki dan wanita kategori hafazan (RM15,000) manakala tempat ketiga (RM10,000).

Majlis Tilawah dan Menghafaz al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-56 berlangsung selama enam hari bermula 16 Jun lalu, menghimpunkan 84 peserta dari 52 negara untuk dua kategori iaitu tilawah dan hafazan.

Tiga negara yang pertama kali menyertai pertandingan bertemakan Wasatiyah Tonggak Kesatuan Ummah tahun ini adalah Amerika Syarikat (AS), Belgium dan Hong Kong.
RUJUKAN-

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140622/dn_04/Qari-qariah-dari-Malaysia-muncul-johan-Tilawah-Antarabangsa-Kali-Ke-56#ixzz35NdNW9hU 

No comments:

Post a Comment