Oleh FARHANA JONI
sukan@utusan.com.my
KUCHING - Ketika Lionel Messi
memastikan negaranya mara ke pusingan kedua Piala Dunia, Jorge Pereyra Diaz
pula memastikan Johor Darul Tazim (JDT) menjulang trofi Liga Super 2014
apabila menjaringkan gol tunggal perlawanan ketika bertemu Sarawak di Stadium
Negeri, Petra Jaya malam tadi.
Sebelum perlawanan malam ini,
pasukan yang terkenal dengan gelaran Harimau Selatan itu mengumpul 41 mata,
satu mata di depan pencabar terdekat, Selangor.
Namun, jaringan Diaz pada minit
ke- 65, dengan Selangor hanya seri di Shah Alam dengan PKNS bermakna anak-anak
buah Bojan Hodak itu mengumpul 44 mata, tiga mata mengatasi Red Giants.
Bagaimanapun Sarawak tidak
memberi laluan mudah kepada JDT apabila skuad yang diketuai Joseph Kalang Tie
itu kelihatan begitu garang, terutama pada babak pertama.
Skuad Ngap Sayot yang dibimbing
jurulatih Robert Alberts, rakan sepasukan jurulatih Belanda pada Piala Dunia
2014, Louis van Gaal ketika di Ajax Amsterdam, terus memberi tekanan kepada JDT
hingga hampir menjaringkan gol pada minit terakhir sebelum pengadil meniup
wisel tamat.
Ketiadan penyerang import
Sarawak, Muamer Salibasic nyata memberi kesan kepada Ngap Sayot apabila setiap
peluang gagal dimanfaatkan.
Pada minit ke-67 hantaran
lintang pemain sayap Sarawak S. Chanturu ke arah gawang gol gagal disempurnakan
jentera serangan Ngap Sayot.
Pemain pertahanan, Mafry Balang
hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-77 namun sepakan jauh dari luar kotak
penalti terus ke dakapan penjaga gol JDT, Md. Al-Hafiz Hamzah.
Jurulatih JDT, Bojan Hodak
ketika ditemui pemberita selepas meraikan kemenangan bersama para pemain
memberitahu, beliau berpuas hati dengan kesemua anak buahnya.
"Saya sangat gembira dan
bangga dengan kemenangan ini ditambah pula dengan kehadiran begitu ramai
penyokong JDT yang sanggup berkorban membeli tiket penerbangan bagi hadir memberi
sokongan kepada kami malam ini.
"Dua pemain import Sarawak
tidak bermain malam ini sebenarnya bonus kepada JDT untuk menguasai
perlawanan dan menjuarai Liga Super tahun ini," katanya.
Jelasnya, beliau turut mengakui
para pemainnya agak kepenatan akibat perjalanan jauh untuk beraksi dalam
perlawanan kali ini.
Rujukan-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140626/su_01/JDT-juara-Liga-Super#ixzz35jfC034c
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment