Ad

Thursday, 26 June 2014

Belum pasti Dollah - Hamidin

KUALA LUMPUR - Walaupun desas-desus sudah bertiup kencang jurulatih PDRM, Dollah Salleh akan menjadi pengendali Harimau Malaya, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd. Amin seperti sengaja berteka-teki apabila mempunyai jawapan sebaliknya.

Enggan mengesahkan atau menafikan, Hamidin berkata, segala kepastian mengenai status jurulatih yang akan dipilih hanya akan diketahui pada Sabtu ini setelah mendapat persetujuan semua exco FAM.

Tambah Hamidin, masih terdapat beberapa calon lain yang dalam pertimbangan FAM dan mereka sebenarnya belum memberi kata putus siapa yang akan menjawat kerusi panas Harimau Malaya yang ditinggalkan oleh Datuk K. Rajagobal sejak 31 Disember tahun lalu.

"Sukar untuk saya menyatakan perkara ini kerana kami belum membuat kesimpulan apa-apa terhadap pemilihan jurulatih Harimau Malaya dan perjumpaan Dollah Salleh dengan saya baru-baru ini adalah satu bentuk formaliti.

"Memang benar Dollah salah seorang calon yang disenarai pendek bagi jawatan jurulatih selain beberapa jurulatih luar dan tempatan yang masih ada dalam pertimbangan.

"Tunggulah 28 Jun ini kerana saya perlu berbincang dengan semua exco sebelum mendapat kata putus siapa yang akan menjadi jurulatih Harimau Malaya, saya tidak boleh buat keputusan secara berseorangan.

"Saya sebenarnya sudah beberapa kali berjumpa Dollah untuk menemuduga beliau mengenai jawatan jurulatih Harimau Malaya, itu saya tidak nafikan," katanya ketika dihubungi semalam.

Beberapa nama seperti bekas jurulatih Iraq, Wolfgang Sidka; bekas jurulatih Mozambique, Gern Engels dan bekas pemain Real Madrid dan Barcelona, Luis Milla menjadi antara calon yang telah ditemuduga oleh FAM.

Sebelum ini, FAM memutuskan akan mengumumkan nama jurulatih baharu pada awal Jun namun hasrat itu ditunda ekoran beberapa masalah tidak dapat dielakkan seperti kongres FIFA di Brazil.

Dollah Salleh baru-baru ini tidak menafikan mendapat tawaran jurulatih Harimau Malaya bagi menghadapi kejohanan Piala AFF pada November ini.

Namun, beliau berkata namanya menjadi antara empat calon jurulatih tempatan lain yang disenarai pendek oleh FAM dan dia belum membuat sebarang keputusan memandangkan masih mempunyai kontrak dengan PDRM.
RUJUKAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140626/su_03/Belum-pasti-Dollah---Hamidin#ixzz35jvPjenH © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment