Oleh Mohd Nor Asri Yaacob
Kota Bharu: Kelantan masih
berpeluang membaiki kedudukan untuk berada dalam kelompok empat terbaik selepas
menundukkan Selangor, 2-0 dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad
IV, kelmarin.
Pengurus pasukan Azman Ibrahim
berkata, kejayaan mengatasi pasukan The Red Giants itu membuka peluang kepada
pasukannya memburu tangga terbaik liga.
Katanya, kemenangan itu hasil
percaturan 100 peratus ketua jurulatih George Boateng meskipun pengendali itu
tidak bersama pasukan ketika perlawanan berlangsung.
“Pujian harus diberikan kepada
pemain kerana komited mendapatkan tiga mata walaupun mereka masih kepenatan.“Bagi saya peluang kembali
terbuka dan Kelantan berpeluang membaiki kedudukan untuk berada dalam kelompok
empat terbaik sebelum tamat musim.“Kemenangan ini sepenuhnya
percaturan ditinggalkan Boateng dan dikendalikan dengan baik kakitangan
kejurulatihan yang berada di sini,” katanya selepas tamat perlawanan.
Bagaimanapun, Azman yang juga
Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) berkata, kemenangan itu
terpaksa dibayar dengan harga mahal selepas kehilangan dua tonggak, pertahanan
Mohd Farisham Ismail yang mengalami kecederaan selain pemain sayap, Wan Zaharul
Nizam Wan Zakaria digantung satu perlawanan selepas mengumpul tiga kad kuning
untuk perlawanan seterusnya.
Artikel ini disiarkan MY METRO pada
: 2014/06/19
No comments:
Post a Comment