Oleh Aida Adilah
Mataida_adilah@hmetro.com.my
Ketika artikel ini ditulis,
Datuk Hasan Nawawi Abdul Rahman masih mengerah keringat meneruskan ekspedisi
berkayuh dari Sabang, Aceh, ke Merauke, Papua, Indonesia bersama rakannya,
Azman Toha.
Usia tidak menghalang bekas
Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang itu untuk terus mencipta sejarah
menjadi rakyat Malaysia pertama melakukan penjelajahan sejauh 7,400km itu
kerana apa yang penting bagi–nya, beliau mahu menjadi inspirasi kepada golongan
pesara lain.
Setakat ini, beliau sudah
menamatkan laluan sejauh 1,616 km dan kini berada di Padang, dan ia bukan mudah
buat dirinya melalui Sabang ke Banda Aceh yang menghabiskan jarak kayuhan 132
km, Banda Aceh - Medan (658 km), Medan - Parapat (191 km ), Parapat -
Panyabungan ( 317 km ), Penyabungan - Tebing Tinggi - Padang ( 318 km ).
Tegasnya, istilah pesara tidak
bermaksud tempoh bertenang dalam kehidupannya, malah beliau langsung tidak
menganggap keringat pada usia 60 tahun sebagai halangan buat dirinya melakukan
apa yang diingini kerana pengalaman diperoleh tidak mampu dibeli dengan wang
ringgit.
Hasan yang ditemui ketika tiba
di Medan untuk melakukan kunjungan hormat berkata, biarpun bakal menempuhi
laluan berbahaya dengan laluan dikelilingi hutan belantara tebal, binatang buas
dan keadaan sekeliling yang berbukit, beliau sudah menanam tekad untuk cuba
menghabiskan ekspedisi itu dalam tempoh yang ditetapkan.
“Tiada yang mustahil bagi
mereka yang berkata mereka boleh. Ia antara kata-kata yang memberi saya
semangat untuk terus berkayuh.
“Laluan Sabang ke Merauke
dipilih kerana ia menawarkan kepelbagaian budaya, tambahan pula Malaysia dan
Indonesia serumpun.
“Gugusan pulau Sumatera ketiga
terbesar di dunia dan saya bakal melalui banyak pengalaman, antaranya melalui
Pulau Komodo, iaitu kawasan yang sangat popular dan hanya dengan berbasikal
saya dapat menyelami atau mendekatinya dengan lebih dekat lagi,” katanya.
Antara bandar utama yang
dilalui mereka adalah Sabang, Bandar Aceh, Medan, Padang, Banda Lampung, Merak,
Jakarta, Semarang, Surabaya, Den Pasar (Bali), Mataram (Lombok), Sumbawa Besar,
Taman Negara Komodo, Labuan Bajo (Flores), Ambon (Maluku), Sorong (Papua) dan
Marauke (Papua).
Berdasarkan kajiannya, Hasan
yang dikenali sebagai Wira Daratan berkata, antara laluan paling bahaya ialah
dari Padang ke Palembang serta di Papua kerana ia kawasan dikuasai pemberontak.
Hasan dan Azman memulakan
kayuhan di Sabang iaitu utara Acheh pada 25 Februari lalu. Kayuhan itu akan
mengambil masa 10 minggu dan dijangka tamat pada 5 Mei ini.
Kayuhan dari Sabang ke Medan
merentasi Pulau Sumatera sejauh 2,800km, menyusuri Pulau Jawa (1,600km), Bali,
Lombok, Sumbawa Besar Pulau Komodo, Flores (1,500km) Ambon dan Papua (1,500km).
Melihat akan jarak itu, ia
tidaklah mudah buat Hasan bersama Azman, 53 tahun. Namun pengalaman Hasan
bersama adiknya Muhd Ridhuan berbasikal mengelilingi dunia selama 389 hari dari
Januari 2001 hingga Januari 2002 membantunya merealisasikan hasratnya.
“Menjelajah menggunakan basikal
ini terlalu istimewa dan pengalaman yang diperoleh itu adalah sesuatu yang
mahal. Kita mampu ke London dengan menaiki kapal terbang dan ia mengambil masa
hanya 13 jam dan pengalaman itu tidak akan sama dengan pengalaman berkayuh ke
London.
“Tempoh lima setengah bulan
dari Kuala Lumpur ke London berserta pengalaman yang diperoleh adalah cerita
yang indah kerana bagi saya, untuk mendapatkan banyak pengalaman hidup anda
perlu mengayuh basikal.
“Tiada istilah gila tapi apa
yang saya lakukan ini adalah gila-gila. Ia sama seperti melihat langit itu
tinggi tapi langit-langit adalah rendah.
“Kalau mereka kata saya gila,
saya dah masuk Tanjung Rambutan jadi biar apa yang orang ingin katakan, apa
yang penting bagi saya, saya melakukan sesuatu yang saya suka malah ia adalah
aktiviti sihat,” katanya.
Penjelajahan Hasan juga membawa
misi tersendiri iaitu umur dan pesara sepertinya perlu terus menjalani gaya
hidup sihat dan jangan berhenti seiring dengan erti ‘bersara’ dalam meneruskan
kehidupan hari tua.
Mengulas mengenai perancangan
seterusnya, Hasan berkata selepas menamatkan ekspedisi itu, beliau bercadang
meneruskan penjelajahan ke laluan sutera pada September ini.
Artikel ini disiarkan pada :
Ahad, 22 Mac 2015 @ 10:14 AM
- SUMBER:
http://www.hmetro.com.my/node/38565#sthash.sfPMeiVh.dpuf
No comments:
Post a Comment