19 Mac 2015 12:57 AM
Ong Kim Swee
PETALING JAYA – Persatuan dan
kelab Liga Malaysia (Liga M) diharap mampu memberi kerjasama dengan melepaskan
pemain-pemain untuk menyertai latihan pusat skuad Sukan SEA 2015 yang dirancang
pada Mei depan.
Jurulatih skuad Bawah 23 negara
Datuk Ong Kim Swee meluahkan harapan itu kerana bimbang segala perancangannya
akan terjejas jika pemain-pemain yang dimahukannya tidak mendapat restu pasukan
masing-masing.
Kerisauannya itu berasas
memandangkan persaingan Piala FA bakal memasuki peringkat suku dan separuh
akhir pada bulan berkenaan.
“Saya begitu bimbang kerana perancangan
saya tampak bakal terganggu kerana menjelang latihan pusat fasa terakhir Mei
depan, suku akhir dan separuh akhir Piala FA turut berlangsung pada bulan yang
sama.
“Justeru saya memohon kerjasama
dari pihak persatuan negeri atau kelab agar mereka melepaskan pemain-pemain
yang berada dalam senarai skuad Sukan SEA nanti,” katanya ketika ditemui di
padang Wisma FAM semalam.
Kim Swee telah memulakan sesi
latihan pusat pertama bersama 22 daripada 27 pemain.
Dua pemain Johor Darul Ta’zim
(JDT), Mohd Amer Saidin dan Mohd. Fandi Othman serta dua pemain Pahang, Mohamad
Nor Azam Abdul Azih dan Mohd. Rizua Shafiqi Kamaruzam tidak dapat menyertai
latihan fasa pertama ini kerana masing-masing masih terikat dengan komitmen
bersama pasukan manakala Mohd. Norhakim Isa menghadapi masalah kesihatan.
“Pada hari ini (semalam), 22
pemain telah menyertai latihan pusat pertama namun ada beberapa pemain tidak
dapat bersama pasukan kerana mereka masih terikat dengan pasukan
masing-masing.
“Pemain Perak, Mohd. Norhakim
Isa tidak akan bersama pasukan ini kerana mendapat jangkitan darah dalam kuman.
“Buat masa ini, saya fokus
kepada sesi latihan ringan dan tidak semua pemain-pemain saya terlibat
sepenuhnya dalam perlawanan kompetitif bersama pasukan masing-masing musim
ini,” katanya.
Skuad Kim Swee akan berada di
Bangkok selama 10 hari untuk bermain dalam tiga aksi pemanas badan menentang
Korea Utara B-22 (22 Mac), Air Force United (26 Mac) dan Police United pada 30
Mac.
Selain itu, Kim Swee masih
berusaha untuk mencari beberapa perlawanan persahabatan antarabangsa sebelum
terbang ke Singapura pada akhir Mei depan.
“Bagi fasa terakhir latihan
pusat ini, saya mungkin mencari lagi beberapa perlawanan persahabatan sebelum
ke Sukan SEA 2015 dan saya telah mengemukakan permohonan, antaranya Australia
dan China,” katanya.
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/kim-swee-bimbang-tak-8232-dapat-pemain-dimahukan-1.71040#sthash.jN1Npjaq.dpuf
No comments:
Post a Comment