Ad

Wednesday, 11 March 2015

Pahang mahu ratah Globac FC

 Oleh LUQMAN HAKIM AB. RAHIM
luqmanhakim.rahim@kosmo.com.my
 
ZAINAL (kiri) tetap yakin dengan kemampuan Pahang meskipun turun tanpa beberapa pemain utama pada aksi menentang Globac FC malam ini.

PENGENDALI Pahang, Zainal Abidin Hassan mengharapkan anak-anak buahnya meneruskan momentum cemerlang pada aksi peringkat Kumpulan G Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menentang Globac FC di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam ini.

Jika berjaya meraih tiga mata penuh ke atas kelab dari Filipina itu, ia akan memberi laluan mudah buat skuad Tok Gajah untuk layak ke pusingan kalah mati.

Bagaimanapun Zainal mengakui persiapan menjelang perlawanan malam ini agak sukar kerana dia berdepan dengan skuad yang tempang ekoran kecederaan yang menimpa beberapa pemain utama seperti Matias Conti dan Dickson Nwakaeme serta ketua pasukan, Mohd. Razman Roslan yang digantung satu perlawanan.

“Saya harap para pemain tetap mempunyai motivasi yang tinggi ekoran kemenangan yang dicapai dalam kempen Liga Super sebelum ini.

“Saya yakin semua pemain dapat meneruskan aksi terbaik dan menang dengan bergaya malam esok (malam ini),” katanya pada sidang akhbar di Kuantan semalam.

Dalam pada itu, pemain pertahanan, Damion Stewart yang menggalas tugas sebagai kapten skuad Tok Gajah berkata, tanggungjawab tersebut akan dilaksanakan sebaik mungkin bagi memastikan misi pasukan mengutip tiga mata penuh tercapai.

Menurutnya, rakan-rakan pasukan sudah bersedia daripada segi mental dan fizikal untuk memberikan aksi terbaik pada perlawanan menentang Global FC nanti.

“Percaturan dan perancangan Zainal sangat kreatif, kami sudah biasa bermain dengan baik biarpun ada pemain utama yang cedera.

“Kami akan tampil dengan aksi terbaik dan saya yakin Tok Gajah akan meraih kemenangan malam esok (malam ini),” jelasnya.

SUMBER-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0311&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz3U4QQeHIv Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment