Ad

Wednesday, 11 March 2015

Biar polis siasat - Razman

 Oleh Wan Fakhrul Bakar wanfakhrul@bh.com.my
KEDIAMAN Razman ditembak, pagi ini. - Foto Luqman Hakim Zubir
KUALA LUMPUR: Kapten Pahang, Razman Roslan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk melakukan siasatan terhadap kes rumahnya di Lorong Kubang Buaya 35, Kuantan yang ditembak suspek tidak dikenali, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 pagi itu, cermin belakang kenderaan pelbagai guna (MPV) milik pemain pertahanan berusia 31 tahun berasal dari Kajang, Selangor itu pecah manakala beberapa peluru turut mengenai dinding rumahnya.

"Ketika kejadian saya sedang menonton televisyen dan tiba-tiba terdengar bunyi letupan.


"Pada mulanya saya sangkakan ia hanya bunyi mercun tetapi apabila melihat cermin kereta pecah, saya keluar dan nampak ada kesan tembakan di dinding serta menjumpai beberapa peluru.

"Selepas itu, saya terus membuat laporan polis dan buat masa ini biarlah pihak polis yang membuat siasatan," kata Razman ketika dihubungi BH Online, pagi ini.

Razman turut enggan membuat sebarang spekulasi atau andaian punca rumah dan keretanya ditembak itu kerana tidak mahu mengganggu siasatan polis.

"Susah nak cakap. Saya pun tak tahu apa puncanya. Nak cakap atau tuduh sesiapa pun, saya tiada terima apa-apa ugutan sebelum ini. Mungkin juga penembak berkenaan salah orang. Biarlah polis yang siasat," jelasnya.

Skuad Pahang akan bertemu kelab Filipina, Global FC pada perlawanan kedua Piala AFC 2015 di Stadium Darul Makmur, malam ini.

Namun Razman tidak dapat beraksi kerana digantung perlawanan selepas menerima kad merah ketika mereka menewaskan kelab Myanmar, Yadanarbon FC 3-2 di Mandalay, 25 Februari lalu.

Sumber-BERITA HARIAN ONLINE 11.3.2015

No comments:

Post a Comment