Ad

Wednesday, 18 March 2015

Tok Gajah terkulai

Oleh Asrol Awang
sukan@hmetro.com.my
Kuantan: Pahang merekodkan kekalahan pertama apabila kecundang di gelanggang sendiri kepada kelab Hong Kong South China 0-1 dalam saingan Kumpulan G Piala AFC di Stadium Darul Makmur malam tadi.

Namun, pemain tengah Pahang, Azidan Sarudin terlebih dulu hampir meletakkan skuad itu di depan pada minit ke-8 tetapi sepakan percumanya berjaya ditepis penjaga gol lawan, Mora Medrano.

Sebaliknya, penyerang South China Chan Siu Ki pula menjaringkan gol tunggal perlawanan hasil percubaan dari luar kotak penalti yang menewaskan penjaga gol Pahang Khairul Azhan Mohd Khalid pada minit ke-12.
Pada minit ke-37, Pahang menerusi R Surendran turut memiliki peluang menyamakan kedudukan selepas mendapat hantaran R Gopinathan tetapi bola sedikit tersasar.

Tanpa kelibat dua penyerang import, Matias Conti dan Dickson Nwakaeme serta Mohd Fauzi Rozlan yang dihimpit kecederaan, jentera serangan Tok Gajah agak tumpul.

Kedua-dua pasukan berusaha untuk membolosi gawang tetapi Pahang yang ketinggalan satu gol terpaksa akur sebaik tamat separuh masa pertama.

Sebaik bersambung babak kedua, Pahang yang amat memerlukan tiga mata berusaha merobek gawang lawan tetapi kekentalan barisan pertahanan pelawat menafikannya.

Pada minit ke-62, pengendali Pahang Zainal Abidin Hassan mengeluarkan Surendran dan menggantikan dengan penyerang muda, Mohd Faizal Abdul Rani untuk memperkasakan jentera serangan.

South China yang cemerlang dengan rekod tanpa kalah dalam kempen Piala AFC selepas menundukkan wakil Filipina, Global FC 6-1 dan 3-1 ke atas kelab Myanmar, Yadanarbon FC, cuba menjarakkan kedudukan pada minit ke-72 menerusi Chan Siu Kwan tetapi sepakan kencangnya terus ke dakapan Khairul Azhan untuk kedudukan 0-1 kekal sehingga wisel penamat.

Selepas ini, kedua-dua pasukan bertemu sekali lagi untuk aksi pusingan kedua di Hong Kong pada 14 April.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 Mac 2015 @ 5:22 AM
 
PEMAIN Pahang Zesh Rahman (kiri) melakukan percubaan ke gawang South China.

- SUMBER: http://www.hmetro.com.my/node/37920#sthash.oXHfszuP.dpuf

No comments:

Post a Comment