Oleh Ferzalfie
Fauzi ferzalfie@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Impian Datuk
Nicol David (gambar) untuk terus ‘menindas’ musuh tradisi, Raneem El Weleily
berkecai apabila tewas di tangan pemain Mesir itu pada perlawanan akhir Terbuka
Windy City 2015 di Chicago, semalam.
Rekod pertemuan Nicol-Raneem
memang memihak kepada atlet kelahiran Pulau Pinang itu, namun apa yang berlaku
di Chicago menceritakan perkara sebaliknya.
Pada final Klasik Cleveland
yang berlangsung bulan lalu, Nicol dengan mudah mengalahkan Raneem untuk meraih
gelaran sulungnya tahun ini.
Bagaimanapun, Raneem berjaya
membalas dendam kekalahan di Cleveland dengan mengatasi Nicol 14-16, 12-10,
11-7, 11-7 dalam perlawanan hampir sejam, semalam.
Perlawanan akhir semalam adalah
ulangan aksi kedua-dua pemain pada Kejohanan Skuasy Wanita Dunia akhir tahun
lalu, tetapi ketika itu Nicol berjaya muncul pemenang dan merangkul gelaran
kelapan kejohanan terbabit.
Aksi set pertama ternyata
dikuasai Nicol yang berjaya mengutip mata demi mata, namun Raneem memintas
untuk mendahului 10-8 sebelum Nicol bangkit mencatat kemenangan 16-14.
Perkara sama berlaku pada set
kedua apabila Raneem mendahului 10-8, tetapi kali ini dia tidak melakukan
kesilapan serupa apabila mencatat kemenangan 12-10.
Raneem dilihat mula mendapat
keyakinan pada set ketiga apabila mencatat kemenangan 11-7 dan bermula
cemerlang dengan mendahului 3-0 pada set terakhir.
Nicol cuba bangkit dengan
mengikat kedudukan 4-4 namun Raneem berada di kelas tersendiri untuk meraih
kejuaraan serta memperbaiki rekod pertemuan 8-3 dengan Nicol sepanjang
kedua-duanya bertemu di final.
Ini kali kedua pada tahun ini
menyaksikan Nicol gagal menjulang trofi.
Januari lalu, dia tersekat di
peringkat suku akhir Kejohanan Juara-Juara JP Morgan apabila tumpas kepada
Alison Waters dari England.
Artikel ini disiarkan pada :
Jumaat, 6 Mac 2015 @ 9:59 AM
- Sumber:
http://www.hmetro.com.my/node/35071#sthash.otor6Pd3.dpuf
No comments:
Post a Comment