Ad

Monday, 30 March 2015

Jangan terlalu ghairah buru gol awal - Nazirul

ISNIN, 30 MAC 2015 @ 9:09 PM

PETALING JAYA: Kapten skuad Bawah 22 (B-22) negara, Nazirul Naim Che Hashim mengingatkan rakan sepasukan supaya tidak terlalu ghairah memburu gol awal apabila berdepan Jepun pada aksi terakhir Kumpulan I, pusingan kelayakan Piala AFC B-23 2016 di Stadium Shah Alam, malam esok.

Beliau mengakui kelekaan di barisan pertahanan mampu memberi peluang kepada jentera serangan Jepun diketuai oleh pemain kelab Tokyo FC, Shoya Nakajima untuk menembusi pintu gol skuad negara.

"Kita mungkin akan beraksi lebih defensif kerana kita tahu jentera serangan Jepun agak pantas apabila melakukan serangan," katanya kepada pemberita selepas sesi latihan skuad itu di Wisma Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya, di sini, hari ini.

"Kita hanya mengharapkan pada gerak terancang dan serangan balas untuk mencari gol. Saya harapkan bukan pemain pertahanan malah semua perlu bekerja keras untuk menghalang Jepun daripada menjaringkan gol," kata pemain kelahiran Perak itu.


Pemain pertahanan itu berkata motivasi pemain berada dalam tahap terbaik walaupun menyedari mereka berdepan laluan paling berliku menentang pasukan gergasi Asia itu.

"Saya lihat pemain memberikan perhatian sepenuhnya pada sesi latihan hari ini dan saya pasti pemain akan berjuang habis-habisan untuk mempertahankan maruah apabila beraksi di laman sendiri pada perlawanan itu nanti," katanya.

Malaysia perlu menang dalam perlawanan genting esok sambil mengharapkan Vietnam seri atau kalah dengan Macau dalam usaha menghidupkan peluang beraksi di pusingan akhir kejohanan di Qatar, Januari tahun depan. - BERNAMA

SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE 30 MAC 2015

No comments:

Post a Comment