SABTU, 28 MAC 2015 @ 12:02 AM
Oleh Khairul Azran Hussin Dan
Suzaini Sulaiman-khaiazr@bh.com.my
KUALA SELANGOR: "Apa sudah
jadi dengan Bukit Malawati? Sedih hati saya melihat tempat yang asalnya sangat
cantik, tetapi kini suasananya seolah-olah 'sudah mati'," kata Abd Samad
Abd Rahim, 63.
Abd Samad yang dahulunya
tinggal dan membesar di rumah kakitangan Jabatan Parit dan Tali Air (sekarang
Jabatan Pengairan dan Saliran) kira-kira 50 tahun lalu, mengakui terkejut
apabila meninjau keadaan di sekeliling bukit itu.
Beliau berkata, pihak
bertanggungjawab perlu segera melakukan sesuatu untuk menyelamatkan warisan
sejarah itu sebelum ia lenyap ditelan zaman, sekali gus membolehkan ia diwarisi
dari generasi akan datang.
Tangga Seratus yang menuju ke
puncak Kota Malawati terbiar tanpa penyelenggaraan. - Foto Intan Nur Elliana
Zakaria
"Dahulu ramai pelancong
barat datang ke sini, tempat yang aman dan menarik untuk pelancong, malangnya
ia tidak diselenggara dan tidak dijaga. Contoh rumah rehat, kalau tengok
keadaannya, rumah ini hanya sesuai buat penggambaran cerita hantu, bukan untuk
pelancong.
"Begitu juga bangunan lama
yang mempunyai sejarah unik seperti rumah polis, timbalan pegawai daerah,
..semuanya diabaikan. Tengok kayu rumah ini dicuri sebab kayu untuk bina rumah
ini tinggi kualitinya dan sekarang harganya berkali ganda.
"Kalau tengok lokasi
muzium permainan, sekarang tidak dibuka lagi. Saya lihat seolah-olah tiada
perancangan untuk bangunkan tempat bersejarah ini sehingga menyebabkan ia
semakin dilupakan," katanya kepada BH di Bukit Malawati di sini.
Abd Samad juga mengimbau
pelbagai kisah pelik dan misteri yang berkait dengan Bukit Malawati, termasuk
penemuan seekor buaya putih di muara sungai Kuala Selangor dan jelmaan seekor
harimau di atas bukit berkenaan.
Bekas penduduk Bukit Malawati,
Abd Samad Abd Rahim kecewa dengan keadaan bukit itu yang terbiar seolah-olah
sudah mati dengan pelbagai monumen sejarah tidak mendapat penyelenggaraan
sewajarnya. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
"Cerita buaya putih ini
disampaikan oleh Datuk Ibrahim Ismail, iaitu Datuk Penggawa kepada Duli Yang
Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, yang juga Orang Besar Daerah Kuala Selangor
kepada bapa saya. Datuk Penggawa cakap buaya ini adalah penunggu sungai.
"Ada juga kisah sekumpulan
pemuda yang sedang berlatih silat dikejutkan dengan kilat menyambar, sebelum
menjelma seekor harimau berhampiran mereka," katanya.
Sementara itu, sumber berkata,
kerajaan negeri sudah meluluskan peruntukan kira-kira RM250,000 kepada
Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Selangor (PADAT) bagi tujuan pemuliharaan
warisan sejarah di pusat pelancongan itu pada 2010, namun tidak pasti apa jadi
dengannya.
Abd Samad menunjukkan bekas
tapak perumahan dan kawasan sekitar Bukit Malawati yang terbiar seperti sudah
dilupakan. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
"Ke mana hilangnya
peruntukan ini. Setahu saya sudah diluluskan, tetapi kerja baik pulih tiada.
Masyarakat hanya salahkan pihak muzium Kuala Selangor, tetapi mereka tidak tahu
muzium tiada peruntukan untuk selenggara warisan sejarah ini, sebab itu banyak
yang uzur.
"Masyarakat tidak boleh
salahkan pihak muzium, kena tanya juga Majlis Daerah Kuala Selangor,"
katanya.
Pengurus Hal Ehwal Agama,
Jawatankuasa Adat Melayu, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad
Yunus Hairi ketika dihubungi BH, berkata beliau akan meninjau sendiri tempat
bersejarah itu dalam tempoh terdekat, termasuk akan mengambil tindakan segera
jika keadaan memerlukan.
Replika meriam dan harimau
jadian dikhabarkan menjadi penunggu dan mengawal Bukit Malawati daripada
ancaman, manakala buaya putih di muara sungai menghalang kemasukan elemen jahat
ke Selangor suatu ketika dahulu. - Foto Intan Nur Elliana Zakaria
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE
28.3.2015
No comments:
Post a Comment