Oleh
Azlan Muhammad Zain azlanmz@hmetro.com.my
Shah Alam: Tuah jelas tidak
memihak Selangor apabila terpaksa akur disingkirkan Terengganu dalam aksi 120
minit pusingan ketiga Piala FA malam tadi.
Juara lima kali Piala FA itu
tewas 1-3 dalam masa tambahan selepas terikat 1-1 masa penuh perlawanan dalam
aksi kalah mati yang berlangsung di Stadium Shah Alam.
Merah Kuning begitu hampir ke
suku akhir apabila Guilherme De Paula meledak jaringan pada minit ke-22 untuk
menceriakan kira-kira 14,000 penyokong.
Walaupun tanpa pemain sayap
lincah Andik Vermansah yang digantung perlawanan dan mengalami kecederaan,
rentak Merah Kuning tidak terjejas apabila turun dengan misi membalas dendam
kekalahan di tangan Terengganu pada perlawanan pertama Liga Super bulan lalu.
Jentera serangan Selangor yang
diketuai De Paula dan Afiq Azmi selain gerakan sebelah tepi Ahmad Hazwan Bakri
sering mengancam kubu pelawat namun nasib tidak memihak tuan rumah untuk
menambah jaringan.
Semuanya tampak sempurna untuk
Selangor termasuk dapat mengekang pergerakan bekas penyerangnya Paulo Rangel.
Namun ketika Selangor di ambang
meraikan kejayaan, pemain pertahanan Terengganu Vincent Bikana meledak jaringan
penyamaan pada minit ke-90 untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan.
Lebih mengecewakan pertahanan
import Selangor dari Australia Robert Cornthwaite pula tertanduk bola ke gawang
sendiri hasil hantaran penyerang lawan Gustavo Lopez sebelum Zairo Anuar
Zailani menambah gol ketiga pada minit ke-120.
Kemenangan ini membolehkan
Terengganu bertemu Perak pada suku akhir awal bulan depan dengan saingan
berlangsung secara timbal balik.
Artikel ini disiarkan pada :
Khamis, 19 Mac 2015 @ 5:22 AM
PEMAIN Selangor Mohd Fitri
Shazwan (kiri) diasak Bikana.
- SUMBER:
http://www.hmetro.com.my/node/37923#sthash.xA3zI9pV.dpuf
No comments:
Post a Comment