Ad

Wednesday 25 March 2015

‘Usah takut cedera’

Oleh Aziman Rosdi-aziman@hmetro.com.my
 Kuala Lumpur: Jangan jadi penakut. Itu mesej yang disampaikan jurulatih Harimau Malaya Dollah Salleh kepada anak buahnya menjelang pertembungan dengan Oman bagi aksi persahabatan antarabangsa di Stadium Al Seeb, Muscat esok.

Pengendali itu berkata, beliau tidak mahu pemain yang enggan bermain sepenuh hati kerana bimbang mendapat kecederaan sekali gus menyukarkannya untuk membuat penilaian dalam proses pembentukan pasukan menjelang pusingan kelayakan Piala Dunia 2018 merangkap kelayakan Piala Asia 2019 bermula Jun depan.

“Kita akan bagi habis-habisan, saya minta pemain jangan takut cedera apabila beraksi. Kalau pemain takut cedera, kecederaan itu sendiri akan datang. Pemain perlu positif dan apabila bermain perlu beri aksi 100 peratus.

“Saya nak pemain tahu bagaimana bermain di peringkat tinggi. Oman berada di ranking ke-96 dunia manakala kita ke-154 dunia. Saya tidak mahu pemain ambil mudah dan takut mendapat kecederaan sebaliknya mempamerkan aksi terbaik,” katanya.

Ketika ditanya adakah sindrom takut cedera ketika menyarung jersi kebangsaan kerana mahu memberi keutamaan kepada pasukan dan kelab yang diwakili pemain, Dollah berkata, semua pemain perlu menghormati lencana yang tersemat di dada masing-masing.

“Ini terpulang kepada individu (lebih utamakan pasukan negeri atau kelab), kita hanya boleh menyampaikan saja dan pemain yang berhak tentukan. Apa sekalipun mereka kena tahu bendera Malaysia, dia kena fikir sebaik-baiknya,” jelasnya.

Dollah membawa 20 pemain bagi aksi pertama Harimau Malaya tahun ini dengan tujuh pemain bukan daripada skuad naib juara Piala AFF tahun lalu termasuk tiga pemain yang tidak pernah menyarung jersi kebangsaan Che Rashid Che Halim dan Muhammad Akram Mahinan (Johor Darul Ta’zim II) serta Muhammad Syamim Othman (FELDA United).

Menurut jurulatih berusia 51 tahun itu, dengan tempoh singkat serta hanya dua aksi persahabatan menentang Oman dan kelab Liga Perdana Inggeris Tottenham Hotspur sebagai medan menguji pemain sebelum kempen kelayakan Jun depan, beliau menjangkakan tugas mencabar bakal ditempuh kali ini.

“Selepas aksi dengan Oman, kita cuma ada satu lagi perlawanan menentang Spurs pada 27 Mei. Kalau nak cerita pasal tempoh latihan memang tak ada, ini macam drastik. Panggil berlatih dua, tiga hari selepas itu terus main,” kata Dollah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 Mac 2015 @ 9:16 AM


- SUMBER: http://www.hmetro.com.my/node/39147#sthash.GDXKQJrD.dpuf

No comments:

Post a Comment