Kehilangan besar dunia seniOleh Amirul
Haswendy Asharihaswendy@hmetro.com.my
Ahad lalu, kita dikejutkan
dengan berita kematian pelakon dan pelawak terkenal, Harun Salim Bachik, 55,
yang rebah ketika singgah di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Gunung
Semanggol, Bukit Merah, Perak dan meninggal dunia kira-kira jam 4.20 petang.
Jenazahnya selamat dikebumikan
di Tanah Perkuburan Islam Ar Raudhatul Sakinah Batu Muda, Batu Caves, Selangor
jam 11 pagi esoknya.
Awal pagi Isnin juga, sekali
lagi kita dikejutkan dengan berita kematian penyanyi Elias Shah, 55, yang
meninggal dunia di Hospital Seri Manjong, Perak, kira-kira jam 12.30 tengah
malam. Jenazahnya dikebumikan di Tanah Perkuburan Titiwangsa pada hari sama,
jam 10.30 pagi.
Harun atau Haron Aminar Rashid
Salim mula dikenali melalui drama bersiri popular awal 1990-an, Rumah Kedai dan
mantan Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) turut membina nama melalui
sitkom bersiri Gado-Gado.
Selain berlakon, Harun pernah
menghasilkan album Belilah pada 1996. Antara lagu popularnya ialah Banjir yang
diinspirasi daripada insiden banjir kilat yang sering berlaku di Kuala Lumpur
waktu itu.
Biarpun digelar pelawak, anak
kepada pelakon veteran 1950-an, Salim Bachik ini juga pelakon yang berkarakter
dan menang anugerah Pelakon TV Lelaki Terbaik di Anugerah Skrin 2001 menerusi
drama Hangatnya Salju Dinginnya Bara.
Malah, telefilem Cikgu Limau
Kasturi memegang watak guru bahasa Inggeris bernama Cikgu Halim pada 1989 turut
meninggalkan kesan kepada peminat sehingga kini.
Akhir-akhir ini namanya
dikenali apabila menyertai Maharaja Lawak Mega 2013 bersama Afdlin Shauki
melalui kumpulan Boboi dan menang tempat kedua.
Afdlin menyifatkan Harun
sebagai sahabat yang baik dan berbakat selain sangat terkesan dengan pemergian
sahabat gandingannya.
Lebih mengejutkan kerana Afdlin
baru berjumpa Harun dua hari sebelum pemergiannya dan sempat bergurau seperti
pertemuan sebelum ini. Afdlin turut berkongsi gambar terakhirnya bersama arwah
di laman sosialnya.
Mereka sempat bertepuk bertampar
dan bergurau senda. Harun turut melahirkan rasa gembira dengan projek terbaru
mereka di Istana Budaya nanti.
Mereka juga berbincang mengenai
hala tuju Boboi untuk terus berkembang di masa akan datang dan beliau akan cuba
memastikan segala yang dirancang berjaya dilaksanakan.
Afdlin turut berbincang
mengenai keputusannya untuk tidak lagi tampil sebagai watak Datin Maimon
selepas mendapat nasihat Mufti Perak.
Kata Afdlin, mereka memang
rapat dan berkongsi tarikh lahir yang sama pada 19 Mei serta mempunyai matlamat
hidup sama iaitu untuk memartabatkan bidang komedi.
Hampir semua filem terbitan dan
arahan Afdlin turut menampilkan Harun sebagai pelakon. Antaranya Baik Punya
Cilok, Apa Kata Hati, Cuci dan Papadom.
Allahyarham yang meninggalkan
seorang balu, Suriati Mohd Nor, enam anak dan tiga cucu, dalam perjalanan
pulang bersama keluarganya dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur selepas menghadiri
satu majlis perkahwinan. Mereka sekeluarga berhenti di R&R Gunung
Semanggol, Bukit Merah untuk mengisi minyak sebelum Harun tiba-tiba rebah dan
meninggal dunia.
Anak ketiga Allahyarham, Ikram
Al Rashid, 26, berkata, ayahnya sudah lama menghidap asma dan penyakitnya
semakin teruk sejak kebelakangan ini.
“Saya tak sangka dia akan
meninggalkan kami sekeluarga secepat ini kerana keadaannya sihat ketika kali
terakhir kami bertemu,” katanya.
Anak kedua, Danial Al-Rashid,
29 mengakui satu sebab kesihatan arwah terjejas kerana terlalu kuat bekerja.
Katanya, penyakit asma yang
dihidapinya sejak lima tahun lalu dilihat semakin menjadi-jadi selepas
menyertai program Maharaja Lawak Mega 2013 dan sering mendapatkan rawatan di
hospital.
“Kami pernah menasihatinya
supaya berehat tapi ayah memberi alasan akan memperlahankan aktiviti seni tahun
ini,” katanya.
Sementara itu nama Elias Shah,
56, mungkin asing dalam kalangan peminat muzik tanah air era ini tetapi bagi
peminat muzik era 1980-an, lagu seperti Cenderawasih dan Kenangan Mengusik Jiwa
pasti terngiangngiang saat berita kematian Allahyarham sampai ke pengetahuan.
Penyanyi yang sinonim memiliki
suara mirip Datuk Ahmad Jais ini memang meminati penyanyi itu sejak kecil dan
pernah berduet bersama-sama.
Ia bukan perkara baru kerana
kelunakan suara Elias menarik perhatian berikutan persamaan suaranya menyanyikan
lagu Ahmad Jais sehingga pendengar tidak dapat membezakannya.
Malah dalam setiap album
dihasilkan, sekurang-kurangnya satu lagu Ahmad Jais akan dimuatkan di dalamnya.
Antara album dihasilkan ialah Kehancuran (1984), Siaplah Aku (1988), Kembalilah
Sayang (1989), Dangdut (1994), Irama Dangdut 60an (1992) dan Zapin Berdayung
(2003).
Walaupun berhenti menyanyi di
lounge, Elias masih tidak putus rezeki dengan setiap jemputan. Terbaru,
Allahyarham sepatutnya menjadi penyanyi jemputan
bersama beberapa rakan
seangkatan iaitu Ibnor Riza, Salwa Abdul Rahman, Jay Jay, Rahmad Mega dan Ayai
Ilusi di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 13 Mac.
Ibnor yang juga teman rapat
arwah mengakui terkejut dengan kematiannya. Apatah lagi kebetulan mereka berdua
sepatutnya berkongsi pentas selama tiga hari di PWTC dari 13 hingga 15 Mac ini
(hari ini).
“Nampaknya, saya terpaksa
bersendirian di pentas tanpa arwah. Arwah senang didekati, ceria tapi pemalu
apabila di pentas.
“Arwah hanya suka menyanyi tapi
jarang bercakap. Kalau suruh menyanyi terus di pentas, dia boleh lakukan tanpa
halangan,” katanya.
Penyanyi Mimpi Yang Tak Sudah
itu akui sering berkunjung ke Kelab Sultan Sulaiman menyaksikan persembahan
Elias setiap malam, satu ketika dulu.
Malah, mereka turut mempunyai lagu
duet kenangan bersama, Jumpa Mesra dipopularkan Ahmad Jais.
“Setiap kali ada persembahan
makan malam, lagu itu menjadi lagu wajib kami berdua menyanyikan bersama untuk
menghiburkan penonton.
“Kami ada perancangan
menghasilkan album bersama, tapi nampaknya impian itu terkubur bersama
ketiadaan arwah,” katanya.
Kali terakhir mereka berduet
kira-kira dua bulan lalu di satu majlis tertutup. Allahyarham meninggalkan
seorang balu, Sharifah Hamidah Syed Hamid dan empat anak.
Artikel ini disiarkan pada : Ahad,
15 Mac 2015 @ 5:09 AM
- SUMBER:
http://www.hmetro.com.my/node/37081#sthash.5422C9al.dpuf
No comments:
Post a Comment