Ad

Wednesday, 18 March 2015

Sime Darby unggul!

 Oleh Mohd Firdaus Hashim
 firdaushashim@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pasukan Sime Darby FC kendalian Ismail Zakaria meneruskan rentak kebangkitan apabila kali ini membenam cabaran Polis DiRaja Malaysia (PDRM) 4-2 dalam pusingan ketiga, sekaligus mengesahkan tiket ke suku akhir saingan Piala FA musim ini.
Selepas berjaya mengikat Johor Darul Ta'zim (Johor DT) 1-1 dalam saingan Liga Super minggu lalu, The Giant Killer meneruskan momentum positif itu apabila kali ini menjadikan The Cops sebagai mangsa di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam tadi.
PDRM memulakan aksi dengan langkah kanan apabila mendahului tuan rumah 1-0 seawal minit pertama menerusi jaringan Dramane Traore selepas menerima hantaran cantik rakan sepasukan Mohamadou Sumareh dari tengah padang untuk mudah merembat masuk menewaskan penjaga gol Sime Darby Mohd Suffian Rahman.
Seakan mirip gerakan jaringan pertama, Sumareh hampir mencetak namanya selaku penjaring m-10, namun kali ini Suffian lebih bersedia di gawang gol buat menghampakan pelawat. Gawang PDRM diuji m-15 melalui rembatan deras Marko Perovic yang tepat menuju ke dakapan penjaga gol pelawat Badrulzaman Abd Halim.
Usaha berterusan pasukan tuan rumah untuk mencari gol penyamaan akhirnya berhasil apabila sepakan sudut yang diambil Marko Perovic tepat singgah ke kepala Dilshod Sharofetdinov yang mudah menanduk tajam m-44 untuk mengikat kedudukan 1-1, sekaligus kekal hingga tamat babak pertama.
Bersambung babak kedua, giliran tuan rumah untuk berada di depan selepas Ivan Dragicevic menanduk masuk m-48 menewaskan Badrulzaman kali kedua.
Kedudukan kembali terikat 2-2 m-63 menerusi gerakan solo Mohamadou Sumareh yang bijak melepasi kekangan dua pertahanan tuan rumah sebelum melepaskan tendangan leret yang menerjah ke gawang Sime Darby.
Penyerang import tuan rumah Nemanja Vidakovic yang dikritik hebat ekoran aksi longlainya sebelum ini, membalas kepercayaan Ismail Zakaria apabila muncul wira pasukan dengan dua gol m-75 dan 79 untuk membawa Sime Darby ke suku akhir menerusi kemenangan 4-2.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 Mac 2015 @ 5:31 AM

- Sumber: http://www.hmetro.com.my/node/37743#sthash.DB9Wd6E7.dpuf

No comments:

Post a Comment