Oleh Aziman Rosdi aziman@hmetro.com.my
Kuala Lumpur
Langkah berani dilakukan
jurulatih Harimau Malaya Dollah Salleh dalam proses pembentukan semula pasukan
apabila memanggil tujuh pemain bukan daripada skuad Piala AFF 2014 termasuk
tiga pemain muda yang tidak pernah menyarung jersi kebangsaan bagi aksi persahabatan
menentang Oman di Muscat, 26 Mac ini.
Tiga pemain yang mendapat
perhatian itu ialah Ahmad Syamim Yahya dari FELDA United dan dua pemain Johor
Darul Ta’zim II (Johor DT II), Che Rashid Che Halim serta Muhammad Akram
Mahinan.
Ketika Dollah mengetepikan
sembilan pemain skuad naib juara Piala AFF tahun lalu, termasuk penyerang Mohd
Safee Sali, Mohd Badhri Radzi, Khairul Fami Che Mat, Mahali Jasuli serta kapten
Shukor Adan yang sudah bersara, pengendali berusia 51 tahun itu memanggil
semula Joseph Kalang Tie, Junior Eldstal, S Chanturu dan Ahmad Hazwan Bakri
untuk bersama pasukan.
Dollah yang bakal memulakan
latihan pusat pada 18 Mac ini dengan memanggil kesemua pemain secara
berperingkat berikutan ada pemain terikat dengan aksi Piala AFC dan Piala FA
mahu menggunakan kesempatan aksi menentang Oman bagi menguji muka baru.
“Pemain yang tidak bersama
pasukan bukan bermakna mereka digugurkan. Mereka masih berada dalam perancangan
cuma saya mahu menilai kemampuan pemain lain untuk bersaing di peringkat antarabangsa.
“Saya boleh bawa Safee, Apek
(Khairul Fahmi) bersama pasukan kerana boleh menyenaraikan hingga 26 pemain,
tapi saya fikir 20 sudah cukup untuk saya bawa ke Oman,” katanya.
Ketiadaan Safee pasti membuka
peluang kepada penyerang muda Selangor, Ahmad Hazwan Bakri yang kembali mencuri
tempat selepas tiga tahun apabila kali terakhir membuat penampilan bersama
Harimau Malaya ketika meledak hatrik menewaskan Sri Lanka 6-0 pada aksi
persahabatan di Shah Alam pada 2012.
Dollah berkata, kesemua pemain dinilai
berdasarkan pemerhatiannya dalam saingan Liga Super dan Liga Perdana termasuk
Syamim, Che Rashid dan Muhammad Akram.
“Saya lihat pemain ini
berdasarkan prestasi semasa serta maklumat diberikan rakan jurulatih lain.
Mereka muda dan berpotensi, saya mahu tengok sejauh mana kemampuan mereka,”
katanya.
Sementara itu Khairul Fahmi,
26, yang ditemui pada majlis pelancaran kasut larian terbaru Puma Ignite akur
dengan keputusan Dollah dan bertekad merampas kembali status penjaga gol nombor
satu negara.
“Ini pilihan jurulatih. Apa
yang perlu saya buat, perbaiki diri untuk memberikan semula keyakinan kepadanya
supaya menyenaraikan semula saya dalam skuad kebangsaan. Mungkin ada sesuatu
yang tak kena dengan saya. Saya perlu lebih bekerja keras meningkatkan prestasi,”
katanya yang beraksi dalam tiga perlawanan awal peringkat kumpulan dan separuh
akhir pertama bertemu Vietnam pada Piala AFF 2014.
Artikel ini disiarkan pada :
Jumaat, 13 Mac 2015 @ 10:23 AM
AKSI Syamim (kiri) pikat
Dollah.
- SUMBER:
http://www.hmetro.com.my/node/36616#sthash.kudVB5AO.dpuf
No comments:
Post a Comment