Ad

Sunday 15 March 2015

Maut diserang gajah liar Sedili

 Oleh FARIK SALLEH berita@kosmo.com.my
KOTA TINGGI – Seorang lelaki lembam di Kampung Te­luk, Tanjung Sedili dekat sini ditemui tidak bernyawa oleh penduduk dipercayai akibat diserang gajah liar dalam kejadian awal pagi semalam.

Mangsa, Roslan Kamar, 32, dijumpai di kawasan kebun yang terletak di tepi jalan utama kampung itu dalam kea­daan tidak berbaju dan hanya berseluar panjang.

Turut kelihatan beberapa kesan tapak kaki gajah berhampiran mangsa manakala pokok kelapa sawit di sekitarnya musnah dimakan haiwan liar tersebut.

Bapa mangsa, Kamar Mahasin, 54, berkata, dia mendapat tahu tentang kejadian yang menimpa anaknya selepas dimaklumkan oleh penduduk kampung kira-kira pukul 9 pagi semalam.

Menurutnya, penduduk memberitahu bahawa Roslan telah diserang gajah dan sebaik tiba di tempat kejadian dia melihat mayat anaknya yang mengalami pendarahan di belakang kepala terbaring kaku di dalam sebuah parit.

Begitupun, kata Kamar, tiada kesan badan anaknya dipijak mamalia berkenaan.

“Dalam dua hari kebelaka­ngan ini memang ada kejadian gajah masuk ke kawasan kampung. Malah, saya sendiri pernah ternampak seekor gajah sedang makan tanaman penduduk.

“Roslan merupakan anak kedua daripada 13 adik-beradik dan sering keluar berjalan pada waktu malam. Jarak tempat kejadian de­ngan rumah kami kira-kira 1.5 kilometer.

“Saya juga tidak sangka dia akan menjadi korban serangan haiwan liar itu,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik, Hospital Kota Tinggi semalam.

Sumber-Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0315&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_01.htm#ixzz3UTZc8347 Hakcipta terpelihara

No comments:

Post a Comment