29 Mac 2015 12:39 AM
HARRY KANE meraikan jaringannya ketika England menewaskan Lithuania
HARRY KANE meraikan jaringannya
ketika England menewaskan Lithuania 4-0, di Wembley semalam.
Penyerang sensasi Tottenham,
Harry Kane membuat kemunculan sempurna dalam aksi pertamanya bersama England
apabila meledak gol hanya dua minit selepas dibawa masuk untuk membantu Three
Lions membenam Lithuania 4-0 pada kelayakan Kejohanan Eropah (Euro) 2016 di
Wembley, semalam.
Kemenangan itu membolehkan
England mengukuhkan kedudukan pendahulu Kumpulan E selepas mengumpul 15 mata,
sekali gus belah kaki untuk melayakkan diri ke pusingan akhir di Perancis,
tahun depan.
Kane, yang meledak 29 gol
bersama Tottenham dalam semua pertandingan musim ini, menanduk gol keempat
England pada minit ke-73 selepas dibawa masuk menggantikan ketua pasukan, Wayne
Rooney.
Rooney sebelum itu meletakkan
tuan rumah di depan seawal minit keenam iaitu jaringan ke-47 bersama England,
hanya dua gol untuk menyamai rekod 49 gol yang dipegang Bobby Charlton.
Danny Welbeck melebarkan
kedudukan 2-0 pada penghujung babak pertama selepas bola terkena bahunya lalu
melantun ke gawang lawan dan Raheem Sterling meledak gol ketiga pada minit
ke-58 menerusi tolakan mudah yang tidak mampu dijangkau penjaga gol Lithuania,
Tadas Kijanskas.
“Ini adalah permulaan yang saya
impikan. Berjaya menjadikan impian satu kenyataan sangat menakjubkan.
“Saya bagaikan tidak percaya
dan amat gembira kerana yang penting kami mencatat kemenangan,” kata Kane, yang
terkenal dengan jolokan ‘King Kane’ dalam kalangan peminat Spurs.
Pengurus England, Roy Hudgson
percaya, penyerang berusia 21 tahun itu mempunyai potensi besar di peringkat
antarabangsa dan mungkin diberi peluang membuktikan keupayaan sekali lagi dalam
aksi persahabatan menentang Itali di Turin, Selasa ini.
Sementara itu, dalam saingan
Kumpulan C, juara bertahan, Sepanyol mempamer aksi hambar ketika menang tipis
1-0 ke atas Ukraine di Stadium Sanchez Pijuan, Seville.
La Roja memulakan permainan
dengan baik apabila mendahului menerusi Alvaro Morata pada minit ke-28, namun
memasuki babak kedua, mereka menampilkan aksi goyah dan membenarkan pelawat
menguasai saingan. – REUTERS
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/8216-king-kane-8217-pamer-kemunculan-sempurna-1.74687#sthash.qDdVDnQ6.dpuf
No comments:
Post a Comment