MENARA Eiffel di Paris,
Perancis turut memadamkan lampu tanda penyertaan dalam kempen Earth Hour. -
AGENSI
LONDON – Lebih 700 lokasi
terkenal di seluruh dunia termasuk Big Ben dan London Eye di sini memadamkan
lampu malam kelmarin dalam sambutan kempen Earth Hour untuk meningkatkan
kesedaran tentang perubahan iklim dunia.
Acara tahunan anjuran Tabung
Hidupan Liar Sedunia (WWF) itu disambut pada 8.30 hingga 9.30 malam (waktu
tempatan) setiap negara pada hari Sabtu terakhir bulan Mac. Sambutan Earth Hour
melintasi 24 zon masa di enam benua bermula di Samoa dan berakhir di Tahiti.
Selain penyertaan berjuta-juta
rumah orang awam, sambutan tahun ini menyaksikan 700 tapak atau bangunan
terkenal di dunia bergelap selama satu jam termasuk Bangunan Parlimen di
London, Istana Buckingham, Menara Eiffel, Jambatan Pelabuhan Sydney dan Menara
Berkembar Petronas.
Acara ini dimulakan di
Australia pada 2007 dan telah tersebar ke seluruh dunia dengan penyertaan lebih
sembilan juta penduduk Britain tahun lalu yang memadamkan lampu dan menyalakan
lilin di rumah mereka.
Jumaat lalu, Putera Charles
melalui satu rakaman video untuk Earth Hour Britain mengajak rakyat negara ini
menyumbang kepada usaha melindungi bumi bagi manfaat generasi akan datang.
“Menutup lampu untuk Earth Hour
adalah satu kenyataan bumi ini bukan hanya untuk kita tetapi juga milik anak
cucu kita. Ini satu simbol peringatan bahawa kita mampu mengubah sesuatu dengan
bersatu.
“Acara ini mengingatkan kita
semua bahawa masa semakin suntuk untuk melakukan perubahan. Jika semua orang di
dunia menggunakan sumber semula jadi seperti di Britain, kita akan memerlukan
tiga buah planet untuk meneruskan hidup,” katanya. – Agensi
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0330&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3VyN0qIMg
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment