Oleh MUHAMMAD ZUHAILY BADLISHAH
zuhaily.badlishah@kosmo.com.my
ADAWIYAH (tiga dari kanan)
menjaringkan satu gol bagi membantu Malaysia menewaskan Singapura 5-0 dalam
saingan Kumpulan B Pusingan Kedua Liga Hoki Dunia di New Delhi, India semalam.
MALAYSIA menepati ramalan
selaku pilihan kedua kejohanan apabila menjuarai saingan Kumpulan B Pusingan
Kedua Liga Hoki Dunia (WHL) dengan rekod bersih menang tiga perlawanan tanpa
sebarang bolos.
Kejayaan skuad hoki wanita
negara itu hadir sejurus kemenangan bergaya 5-0 ke atas Singapura pada aksi
terakhir peringkat kumpulan di Stadium Nasional Major Dhyan Chand, New Delhi,
India semalam.
Penyerang The Blue Tigress,
Fazilla Sylvester Silin muncul wira pasukan apabila berjaya meledak hatrik pada
minit (m) ke-24, 32 dan 45 selain masing-masing satu gol daripada Rabiatul
Adawiyah Mohamed (m-26) dan Nurul Nabiha Mansur (m-32).
Ketua jurulatih Malaysia,
Nasihin Nubli Ibrahim mengakui anak-anak buahnya terpaksa bersabar dalam usaha
memburu lebih banyak gol kerana Singapura gemar mengamalkan corak permainan
‘parkir bas’ pada perlawanan tersebut.
“Singapura menggunakan taktik
memenuhkan pemain dalam kawasan 25 meter, sekali gus memberi kesukaran kepada
kami untuk menembusi gawang gol mereka.
“Jadi kami terpaksa menggunakan
pemain pertahanan tepi membantu merencanakan serangan dan barulah kami
memperoleh beberapa peluang untuk menghasilkan gol.
“Raja Norsharina Raja
Shahbuddin menjalankan tugas dengan baik menyerang di sebelah kanan. Saya
berpuas hati dengan keputusan ini tetapi masih ada perkara yang perlu
diperbaiki,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Biarpun berjaya membelasah
lawan dari seberang itu, namun Nasihin tidak gembira dengan penyudah berkesan
Malaysia daripada gerakan pukulan sudut penalti.
Ia terbukti apabila The Blue
Tigress sekadar berjaya meledak satu gol daripada pukulan sudut penalti
menerusi Fazilla Sylvester (m-32) daripada lima jaringan yang terhasil semalam.
“Pukulan sudut penalti kami
masih pada tahap yang lemah. Kami perlu memperbaikinya pada sesi latihan
memandangkan esok (hari ini) tiada perlawanan,” jelasnya.
Malaysia akan bertemu pasukan
tercorot Kumpulan A yang dijangka menjadi milik Ghana pada aksi suku akhir
esok.
Dalam perkembangan lain, skuad
lelaki negara tewas 0-6 kepada pasukan hoki utama Australia pada perlawanan
persahabatan di Perth, Australia semalam.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0311&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz3U46OigsB
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment