SELASA, 10 MAC 2015 @ 9:50 PM
SINGAPURA: Wakil Malaysia,
Johor Darul Ta'zim (JDT) meneruskan rekod kemenangan 100 peratus dalam saingan
Piala AFC 2015 selepas berjaya menewaskan kelab Singapura, Balestier Khalsa FC
1-0 pada aksi kedua Kumpulan F di Stadium Jalan Besar, di sini, malam ini.
Turun tanpa tonggak utama
termasuk penjaga gol kebangsaan, Farizal Marlias serta tonggak import, Marcos
Antonio dan Luciano Figueroa manakala Safiq Rahim, S Kunanlan dan pemain
kebangsaan Singapura, Hariss Harun hanya dimasukkan sebagai pemain gantian, JDT
kendalian Bojan Hodak akhirnya memperoleh gol kemenangan pada masa kecederaan.
Asraruddin Putra Omar
melepaskan sepakan kaki kiri selepas menerima lorongan Hariss untuk menewaskan
penjaga gol tuan rumah, Zaiful Nizam Abdullah pada minit ke-92.
Dengan kemenangan itu, JDT kini
mengumpul enam mata selepas membelasah kelab India, East Bengal 4-1 pada aksi
sulung di Larkin, 24 Februari lalu.
Perlawanan seterusnya, JDT akan
bertemu Kitchee FC di Stadium Mongkok, Hong Kong, 17 Mac ini.
Sementara itu, pada satu lagi
aksi Kumpulan F, kelab Hong Kong, Kitchee FC yang mudah membenam Balestier
Khalsa 3-0 pada aksi sulung di laman sendiri gagal meneruskan rentak kemenangan
selepas diikat kelab India, East Bengal 1-1 di Kolkata, India, malam ini.
Selepas dua perlawanan, JDT di
tangga teratas Kumpulan F dengan enam mata diikuti Kitchee dengan empat mata,
East Bengal satu mata dan Balestier Khalsa tanpa sebarang mata.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE
10.3.2015
No comments:
Post a Comment