Ad

Monday, 23 March 2015

Hafiz tamat zaman bujang

Oleh Noor Hidayah Tanziziam@hmetro.com.my
Manjung: Pemain tengah pasukan Pahang, Mohd Hafiz Kamal, 28, menamatkan zaman bujang apabila memilih Nurjulaikha Ishak, 24, sebagai teman hidupnya pada majlis persandingan di rumah keluarganya di Pantai Remis, dekat sini, semalam.

Walaupun sibuk dengan persiapan bersama skuad Pahang bagi menghadapi saingan Piala AFC, Piala FA dan Liga Super tidak menghalang majlis itu berlangsung meriah dengan kehadiran sanak-saudara serta kenalan termasuk jurulatih kebangsaan Dollah Salleh.

Menurut Hafiz, kehadiran Nurjulaikha dalam hidupnya akan menambahkan lagi semangatnya untuk terus mempamerkan permainan terbaik bersama skuad Pahang selepas ini.

Menceritakan bibit percintaan antara mereka, Hafiz berkata, perkenalan mereka bermula di laman sosial Facebook empat tahun lalu sebelum mula bertemu di Stadium Mini Temerloh, Pahang ketika dia mewakili pasukan Shahzan Muda.

“Isteri saya amat meminati bola sepak dan jodoh kami ini memang sudah ditetapkan Allah kerana hanya isteri yang memahami mampu membawa kejayaan kepada suami tidak kira dalam apa bidang diceburi.

“Kehadirannya kini menjadikan saya lebih bersemangat untuk mempamerkan aksi cemerlang di padang seterusnya membawa kejayaan kepada Pahang,” katanya ketika ditemui wartawan selepas majlis persandingannya.

Bagi Nurjulaikha pula, gaya jalan suaminya di padang membuatkannya jatuh cinta kepada Hafiz dan kini dia bagaikan tidak percaya apabila sudah bergelar isteri kepada pemain bola sepak itu.

Katanya, menjadi isteri kepada seorang pemain bola sepak memerlukan pergorbanan dan kesabaran tinggi kerana sebagai pemain profesional sudah pasti suaminya itu mempunyai jadual latihan serta perlawanan yang padat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 Mac 2015 @ 7:35 AM
KAMAL (dua dari kiri) bergambar bersama Dollah.

- SUMBER: http://www.hmetro.com.my/node/38507#sthash.gC5DJjAY.dpuf

No comments:

Post a Comment