Kelana Jaya: Masalah serangan
masih menghantui skuad bawah 22 tahun negara (B-22) kendalian Razip Ismail
menjelang aksi getir menentang Jepun pada perlawanan terakhir Kumpulan I
Kelayakan AFC B-23 di Stadium Shah Alam malam ini.
Berbekal hanya tiga gol selepas
dua perlawanan termasuk ketika mengatasi Macau 2-0 kelmarin, skuad muda negara
itu terpaksa mengharapkan sumbangan pemain tengah dan pertahanan bagi melakukan
sentuhan penyudah manakala pemain penyerang seperti hilang dalam bayangan pertahanan
lawan.
Berdepan Jepun bukan mudah
ketika Malaysia memerlukan kemenangan untuk layak ke pusingan akhir di Qatar
tahun depan dan sekiranya pemain penyerang seperti S Kumaahran, Muhammad
Syafwan Syahlan dan Muhammad Farhan Roslan tidak meningkatkan permainan, Razip
terpaksa mengharapkan cara lain.
Gerakan ‘set-piece’ juga boleh
dijadikan kekuatan pasukan negara apatah lagi memiliki pemain yang mempunyai
kemahiran mengambil sepakan percuma seperti kapten Nazirul Naim Che Hashim.
Pemain pertahanan kiri itu
sudah membuktikan keupayaan menghasilkan gol menerusi sepakan percuma jarak
jauh ketika menewaskan Bangladesh pada final Piala Emas Bangabandhu Februari
lalu serta melakukan sekali lagi sewaktu tumpas 1-2 di tangan Vietnam pada aksi
pembukaan Kumpulan I.
Nazirul Naim yang pernah
bersama kelab Jepun FC Ryukyu pada 2014 berharap mereka tidak mensia-siakan
setiap peluang dicipta pada aksi penentu kumpulan ini.
“Kita harapkan keputusan
positif. Kita bermain di tempat sendiri dan perlu cuba buat yang terbaik untuk
menewaskan mereka.
“Ketika menentang Macau, kita
terlalu cepat untuk mendapatkan gol dan tidak sabar-sabar mengatur permainan.
Kelemahan ini kita perlu atasi,” katanya.
Menurut pemain berusia 21 tahun
itu, walaupun sukar peluang masih belum tertutup buat skuad negara dalam kempen
kali ini.
“Memang Jepun pasukan kuat tapi
kalau semua pemain beri komitmen dan berjuang habis-habisan saya percaya kita
boleh dapat keputusan positif,” jelas Nazirul Naim.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa,
31 Mac 2015 @ 9:26 AM
- SUMBER:
http://www.hmetro.com.my/node/40425#sthash.dA7KplCL.dpuf
No comments:
Post a Comment