Oleh MOHD. IKHSAN FIRDAUS AZMI
ikhsan.azmi@kosmo.com.my
RASHID bercadang untuk berehat
dan menenangkan fikiran selepas tidak mahu menyambung kontrak bersama BAM.
TEKA-TEKI mengenai kontrak
ketua jurulatih perseorangan, Rashid Sidek terjawab semalam selepas beliau
membuat keputusan untuk tidak lagi meneruskan khidmatnya bersama Persatuan
Badminton Malaysia (BAM) yang akan berakhir hari ini.
Rashid, 46, yang menyertai BAM
sejak 2003 berkata, beliau mengambil keputusan itu kerana tidak berpuas hati
dengan isi kandungan kontrak yang berat sebelah sebagaimana sasaran yang
diletakkan tidak realistik.
“Bagaimana saya nak sambung
kontrak kalau saya tidak setuju dengan isi kandungan kontrak ini, memang mereka
menaikkan gaji tetapi Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) tidak realistik dan
keterlaluan.
“Saya memang tiada masalah
dengan susunan struktur jurulatih cuma saya berasakan akan wujud satu suasana
yang tidak sihat di sini jika saya menandatangani kontrak tersebut, jadi lebih
baik saya mengundurkan diri.
“Esok (hari ini) merupakan hari
terakhir saya, jadi selepas ini saya mengambil keputusan untuk berehat dahulu
dan tenangkan fikiran. Mungkin ada hikmah dengan keputusan saya ini,” katanya.
Rashid berkata demikian selepas
mengadakan pertemuan dengan Pengarah Teknikal BAM, Morten Frost Hansen di
Stadium Juara, Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.
“Pertemuan dengan Frost hari
ini (semalam) satu pertemuan yang bagus dan tiada apa-apa masalah cuma saya
tidak bersetuju dengan kontrak ini.
“Saya juga mahu berterima kasih
kepada BAM kerana sejak menjadi jurulatih selama 13 tahun telah banyak perkara
yang saya belajar di sini,” ujar Rashid.
Terdahulu, BAM bersetuju untuk
menaikkan gaji barisan jurulatih yang akan tamat hari ini, namun mereka juga
meletakkan syarat agar setiap jurulatih dan pemain perlu memenuhi KPI yang
ditetapkan dalam kontrak tersebut.
Difahamkan, BAM juga akan
membuat penilaian terhadap jurulatih setiap enam bulan dan sekiranya KPI yang
diletakkan itu gagal dicapai mereka akan diberikan notis tiga bulan.
Sementara itu, usaha untuk
mendapat maklum balas daripada beberapa jurulatih elit lain mengenai keputusan
mereka selepas pertemuan dengan Frost menemui kegagalan.
Jurulatih beregu wanita, Rosman
Razak dan jurulatih perseorangan, Tey Seu Bock enggan memberikan sebarang
komen.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0331&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_05.htm#ixzz3Vx0mW1QY
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment