Ad

Tuesday 31 March 2015

Jepun gusar hujan

Oleh Aziman Rosdi 
aziman@hmetro.com.my
Shah Alam: Faktor cuaca kini menjadi kebimbangan utama jurulatih Jepun bawah 22 tahun (B-22) Makoto Teguramori menjelang perlawanan terakhir kelayakan AFC B-23 Kumpulan I selepas beliau menyaksikan kesukaran anak buahnya menundukkan Vietnam 2-0 kelmarin.
Dalam aksi padang basah di Stadium Shah Alam, skuad pendahulu kumpulan itu hanya berjaya mencipta jaringan di penghujung setiap babak menerusi jaringan pemain tengah Shinya Yajima.
Walaupun tidak dinafikan Vietnam turut memberikan tentangan hebat pada perlawanan kedua kumpulan itu, Teguramori mengakui anak buahnya tidak biasa bermain di atas padang basah dan berharap keadaan akan lebih baik apabila turun menentang pasukan tuan rumah Malaysia malam ini.
“Perlawanan yang sukar apabila kami beraksi di atas padang basah akibat hujan sebelum perlawanan.
“Walaupun sukar menambah jaringan, pemain berusaha keras dan saya percaya perlawanan ini akan memberikan pengalaman berharga buat pemain,” katanya.
Jepun hanya memerlukan keputusan seri dengan skuad negara kendalian Razip Ismail pada perlawanan terakhir selepas mencatat rekod kemenangan bersih dua perlawanan termasuk membenam Macau 7-0 untuk layak ke pusingan akhir AFC B-23 Qatar tahun depan selaku juara kumpulan.
Walaupun mereka kini memiliki kelebihan psikologi dengan mengalahkan Vietnam - pasukan yang menumpaskan Malaysia 2-1, Jumaat lalu, Teguramori tetap mengambil sikap waspada.
“Perlawanan dengan Malaysia pasti sukar buat kami. Saya akan membuat perubahan strategi dan saya harap keadaan padang lebih baik.
“Malaysia menewaskan Macau dan saya percaya mereka akan cuba mengalahkan kami. Mereka juga mempunyai kelebihan bermain di depan penyokong sendiri,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Mac 2015 @ 9:27 AM

- SUMBER: http://www.hmetro.com.my/node/40427#sthash.K5QZV2Cz.dpuf

No comments:

Post a Comment