SABTU, 21 MAC 2015 @ 10:48 PM
Oleh Mohd Iskandar Ibrahim
Asrol Awang-bhonline@bharian.com
PEMAIN Lions XII, Khairul Amri
meraikan jaringan keduanya ketika bertemu KL SPA pada perlawanan Piala FA 2015
di Stadium Jalan Besar, Singapura. - Foto Mohd Azren Jamaludin
KUALA LUMPUR: Lions XII dan
Pahang masing-masing melangkah ke peringkat suku akhir Piala FA, malam tadi
namun laluan yang dihadapi kedua-dua pasukan Liga Super itu, agak berbeza.
Di Stadium Jalan Besar,
Singapura, Lions XII menang besar 4-0 ke atas kelab Liga Perdana, KL SPA namun
di Stadium Darul Makmur, Kuantan, Pahang dipaksa bekerja keras oleh MISC-MIFA
sebelum menang 2-1.
Selesa di depan 2-0 mengakhiri
babak pertama, Lions XII menambah dua lagi gol pada babak kedua dengan
penyerang, Khairul Amri menampilkan bisanya dengan menjaringkan dua gol.
Gol pertama Lions XII
dijaringkan Madhu Mohana yang menampan bola hasil sepakan penjuru Gabriel Quak
seawal minit ke-16 permainan dan gawang pelawat sekali lagi bolos pada 10 minit
kemudian hasil rembatan menarik Khairul.
Berada di kedudukan tercorot
Liga Perdana, KL SPA nampak di kelas berbeza berbanding Lions XII namun
sesekali melakukan cubaan terutama menerusi penyerang import, Ijezie Michael
Chukubunna.
Memasuki babak kedua, tuan
rumah tambah selesa apabila pemain kebangsaan Singapura, Quak kemudian menambah
gol Lions XII pada minit ke-57 sebelum Khairul melengkapkan jaringan pada minit
ke-83.
PEMAIN Pahang, Azidan Sarudin
(kanan) mengasak gawang pasukan MISC-MIFA pada perlawanan Piala FA menentang
MISC-MIFA di Stadium darul Makmur. - Foto Farizul Hafiz Awang
Dalam pada itu, MISC-MIFA yang
dikuatkan dengan beberapa pemain berpengalaman antaranya bekas pemain Negeri
Sembilan, K Nanthakumar berjaya membuatkan peminat Pahang 'berpeluh' di
Kuantan.
Beraksi di Liga FAM, MISC-MIFA
berjaya mengikat Pahang yang juga penyandang juara Piala FA musim lepas 0-0
sehingga berakhir babak pertama hasil permainan kemas yang ditampilkan.
Begitupun, ia hanya mampu
bertahan tiga minit memasuki babak kedua dengan Pahang memperoleh jaringan
pertama menerusi pemain sayap kebangsaan, R Gopinanthan.
Tidak puas dengan jaringan itu,
Pahang kemudian berjaya meledak gol kedua menerusi penyerang, Mohd Fauzi Roslan
pada minit ke-58.
Namun ketika permainan hampir
tamat, kealpaan benteng Pahang akhirnya dihukum apabila MISC-MIFA menjaringkan
gol dianggap saguhati menerusi S Harivarman pada minit ke-90.
Kemenangan menyaksikan Pahang
dan Lions XII menyertai Pulau Pinang, Sime Darby, Kelantan, Perak, JDT II dan
Terengganu yang turut menempah tiket ke suku akhir Piala FA musim ini.
No comments:
Post a Comment