WARTAWAN SINAR HARIAN
19 Mac 2015
Rahsia kemaraan TRW Wan Zack Haikal (kiri) cuba melepasi pemain
import pelawat, Masue Kalle Sone dalam aksi di Kota Bharu, kelmarin.
SELEPAS kemarau kemenangan
dalam dua perlawanan terakhir, Kelantan akhirnya menemui rentak kecemerlangan
apabila menewaskan Kuala Lumpur 1-0 pada perlawanan pusingan ketiga Piala FA di
Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam kelmarin.
Biarpun hanya berupaya
mengalahkan pasukan Liga Premier itu dengan jaringan tipis, sekurang-kurangnya ia mampu mengubati
kekecewaan penyokong setia berikutan prestasi terumbang-ambing skuad pantai
timur itu ketika ini.
Namun paling mengejutkan,
percaturan menurunkan barisan terkuat The Red Warriors (TRW) pada perlawanan
itu bukan datang daripada pengendali, George Boateng atau barisan
kejurulatihannya, sebaliknya ia ditentukan menerusi campur tangan Presiden
Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa.
Perkara itu didedahkan pengurus
Kelantan, Azman Ibrahim apabila memberitahu ketiadaan Boateng dalam dua sesi
latihan pasukannya akibat masalah kesihatan memaksanya mengadakan perbincangan
dengan Annuar sebelum perlawanan berkenaan.
“Barisan kesebelasan utama ini
diberikan oleh Tan Sri Annuar (Musa) kepada saya. Untuk itu, adalah menjadi
tugas saya untuk pastikan semua pemain yang diturunkan mempunyai komitmen
tinggi dan bermain mati-matian dalam perlawanan ini.
“Ya, saya tahu semua pemain
nampak enjoy, mungkin mereka tahu keupayaan masing-masing. Kalau kita tengok
malam ini, pemain menunjukkan kesungguhan dan sebenarnya mereka berjanji untuk
bangkit selepas dikecewakan Felda United tempoh hari,” katanya pada sidang
media selepas perlawanan, malam
kelmarin.
Pada perlawanan itu, bekas
juara musim 2012 dan 2013 itu mengatasi The Hawks 1-0 menerusi gol tunggal Wan
Zack Haikal Wan Noor pada minit ke-65 untuk berdepan Sime Darby FC suku akhir,
7 April depan.
Sementara itu, mengulas lanjut
‘kehilangan’ Boateng di kem Kelantan, sekali gus menimbulkan tanda tanya dalam
kalangan penyokong pasukannya, Azman menafikan jurulatih kelahiran Ghana itu
direhatkan daripada mengendalikan TRW untuk perlawanan itu.
“Sebenarnya, bukan direhatkan
atau digugurkan tapi dia diberi cuti sakit akibat penyakit diarea. Saya
difahamkan doktor yang merawatnya menasihatkan dia agar tidak berada di padang
buat seketika,” katanya.
SUMBER-SINAR HARIAN ONLINE 19.3.2015
No comments:
Post a Comment