– KhalidOleh MUHAMMAD HELMEE RAMLI
sukan@kosmo.com.my
“MASIH di takuk lama.”
Itu pandangan peribadi legenda
bola sepak negara, Khalid Ali yang menyifatkan jurulatih tempatan masih belum
cukup bagus selepas menyaksikan skuad Harimau Malaya mempamerkan permainan
hambar ketika dimalukan 6-0 oleh Oman pada aksi perlawanan persahabatan di
Muscat baru-baru ini.
Khalid antara pemain tengah
serba boleh pada era 1970 dan 1980-an itu meluahkan kekecewaannya selepas
menyaksikan betapa longgar dan rapuhnya skuad negara pada perlawanan tersebut.
“Secara jujur, saya sudah
jangkakan kekalahan tersebut tetapi bukan dengan keputusan yang memalukan
seperti ini. Taktikal yang digunakan juga hambar dan membosankan.
“Mereka perlu memperbaiki
kelemahan dan kelonggaran dalam pasukan negara jika mahu melangkah lebih jauh
pada kelayakan Piala Asia dan Piala Dunia nanti,” katanya kepada Kosmo!
semalam.
Tambahnya lagi, pengendali
Harimau Malaya, Dollah Salleh, perlu bijak menangani kelonggaran yang ada dalam
skuad negara selain memilih pemain yang benar-benar layak untuk menyarung jersi
keramat pasukan negara.
“Kelemahan pada skuad Dollah
boleh dilihat pada semua posisi termasuk bahagian tengah dan juga serangan.
Selepas ini, dia (Dollah) perlu menekankan aspek pemilihan pemain. Pemain yang
dipilih perlulah benar-benar berkualiti serta layak.
“Saya juga tidak berpuas hati
dengan prestasi Mat Yo (Norshahrul Idlan Talaha) yang semakin merudum sejak
kebelakangan ini. Dia perlu gandakan usaha untuk mengembalikan rentaknya yang
sebenar,” ujar Khalid.
Menurutnya lagi, beliau
berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) agar mempertimbangkan cadangan
untuk mengambil jurulatih teknikal dari luar negara bagi membantu dan memberi
nasihat kepada barisan jurulatih tempatan.
“Jurulatih kita sebenarnya
masih kurang pengalaman dalam dunia bola sepak moden dan pakar teknikal amat
diperlukan untuk membantu mereka.
“Saya juga cadangkan agar FAM
menghantar jurulatih kita untuk menimba ilmu kejurulatihan di luar negara
kerana langkah seperti ini akan membantu mematangkan mereka. Saya juga berharap
agar kekalahan kita kepada Oman baru-baru ini tidak boleh dipandang mudah,”
tambah Khalid lagi.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0331&pub=Kosmo&sec=Sukan&pg=su_02.htm#ixzz3VxbPMLFn
Hakcipta terpelihara
No comments:
Post a Comment