MEMASUKI usia 70-an, Utusan
Melayu (Utusan Malaysia) menghadapi cabaran yang paling getir dalam sejarah
perjuangannya yang bermula dengan semangat nasionalisme yang sempit tetapi
bertukar kepada sosialisme dan komunisme antarabangsa dan akhirnya kepada
nasionalisme liberal.
Penubuhan Utusan Melayu oleh
Kesatuan Melayu Singapura (KMS) pada tahun 1938 dan penerbitannya pada 29 Mei
1939 adalah didorong oleh semangat anti Jawi Peranakan dan Keturunan Arab
kerana mereka menghina dan mengeksploitasi ekonomi orang Melayu. Untuk
pemisahan dari etnik Melayu, Utusan mentakrifkan mereka sebagai DKK (Darah
Keturunan Keling) dan DKA (Darah Keturunan Arab).
Bagaimanapun Presiden UMNO yang
pertama Datuk Onn Jaafar telah meluaskan takrifan itu dengan memasukkan keturunan
Arab dan India sebagai Melayu kerana mereka berugama Islam dan mengamalkan adat
istiadat Melayu untuk membesarkan kelompok Melayu yang diperlukan untuk
perjuangan besar bagi menentang Malayan Union dalam tahun 1946.
Tabir perjuangan Utusan Melayu
berubah dari masa ke masa oleh tuntutan dan tekanan politik tetapi telah
terbukti, baik ketika didukung oleh pejuang kiri atau ketika dikuasai oleh
pejuang kanan, namun kejatian diri Utusan tetap tidak berubah malah lebih
menyerlah dalam keadaan yang tercabar.
Bekas bekas wartawan dan
sasterawan kiri Utusan Melayu yang menanggap Utusan Melayu telah menyeleweng
dari dasar asalnya juga dapat merasakan Utusan Melayu tetap tegak di atas jadi
dirinya dalam usianya yang semakin lanjut. Allahyarham Sasterawan Negara Usman
Awang dalam sajaknya Utusan Melayu dalam buku Di Sebalik Jendela Utusan Melayu
yang diterbitkan sempena Utusan 50 tahun telah menyatakan:
Utusan Melayu,
Wajah dan lenggangmu
boleh berubah,
Suara dan nadamu terkocak
gundah,
Namun jiwamu tetapi tidak
mungkir,
Untuk bangsa agama dan tanah
air.
Ketika itu Usman Awang seorang
pejuang kiri dalam Utusan Melayu telah lebih 20 tahun meninggalkan Utusan
Melayu setelah gagal mempertahankan Utusan Melayu dari diambil alih oleh UMNO dalam
satu mogok selama tiga bulan oleh seluruh pekerja Utusan pada tahun 1961
(Julai-Oktober) tetapi Usman masih melihat dan merasakan Utusan tetap tidak
terkeluar dari matlamat asalnya walaupun gayanya telah berubah.
Alasan mogok mereka adalah
untuk mempertahankan kebebasan akhbar tetapi Presiden UMNO dan juga Perdana
Menteri Malaya, Tunku Abdul Rahman yang memutuskan pengambilalihan itu setelah
melihat Utusan Melayu terkongkong oleh golongan kiri dan anasir-anasir Parti
Rakyat Malaya yang pro-Indonesia.
Utusan Melayu ketika itu
berkeyakinan bahawa sosialisme dan komunisme adalah jambatan kepada konsep
gagasan Nusantara Melayu Raya sebaliknya Tunku berpandangan oleh kerana
kelemahan Indonesia dari segi ekonomi, sains dan teknologi terutama dari segi
persenjataan, maka yang akan menguasai Melayu Raya kelak ialah Parti Komunis
China yang telah pun berkuku di Indonesia menerusi Parti Komunis Indonesia
(PKI).
Perdana Menteri Singapura, Lee
Kuan Yew juga mempunyai ketakutan yang sama dan kerana itu beliau berkerjasama
dengan pemerintah Malaya untuk melumpuhkan mogok Utusan Melayu dengan
kader-kader Parti Tindakan Rakyat (PAP) di Utusan Melayu membantu meneruskan
penerbitan Utusan Melayu dalam masa mogok.
UMNO telah membiarkan
"kebebasan" di Utusan Melayu itu walaupun telah menguasainya menerusi
pembelian besar saham Utusan Melayu sejak tahun 1953 dan hanya mengambil
langkah drastik untuk pengambilalihan secara total pada tahun 1961 kerana
Utusan gagal menyesuaikan diri dengan perubahan politik semasa yang pro dasar
pasaran bebas dan pro Barat.
Wartawan Utusan Melayu sejak
zaman awal kelahirannya, Samad Ismail adalah orang yang memainkan peranan besar
dalam menanam dan membangunkan roh ini dalam Utusan Melayu dengan secara halus
dan bijak sehingga seluruh pekerja Utusan Melayu berkeyakinan bahawa Utusan
Melayu adalah suatu perjuangan suci dan benar.
Di awal tahun 1950-an Utusan
Melayu menjadi begitu popular di kalangan rakyat yang melampaui batas kaum
terutama pekerja Cina dan pelajar-pelajar Sekolah Cina di Singapura kerana
suara beraninya menentang penjajahan British dan memperjuangkan nasib kaum
pekerja. Malah Utusan Melayu dihormati oleh mahasiswa berpendidikan Inggeris di
Universiti Singapura yang berfahaman Marxis.
Kepimpinan Melayu di Utusan
Melayu yang dijuarai oleh Samad menjadi begitu popular sekalipun Utusan Melayu
yang bertulisan jawi tidak difahami oleh mereka dan edarannya sangat rendah
dibandingkan dengan akhbar akhbar bahasa Cina dan Inggeris.
Kelab
Kelab Sosialis, Universiti
Singapura yang disusupi oleh Samad telah menyokong Bahasa Melayu sebagai bahasa
Kebangsaan untuk Malaya dan Singapura yang merdeka kelak. (Buku Fajar
Generation muka 256). Ini menunjukkan kepimpinan Melayu diterima tanpa sebarang
perasaan curiga kerana percaya kepada nasib masa depan bersama.
Utusan Melayu bukan sekadar
hanya sebuah akhbar. Ia telah menjadi sebuah institusi nasional yang kian hari
kian menonjol imejnya di tengah masyarakat sebagai sebuah akhbar yang erat
pertaliannya dengan rakyat (Samad dalam Utusan Melayu 50 tahun)
Imej Utusan Melayu di awal
tahun 50-an telah jauh berbeza dengan zaman awal kelahirannya. Bila sahaja
Utusan berjaya diterbitkan pada tahun 1939, pengasasnya Yusof Ishak berkata
"sekarang orang Melayu mempunyai suara untuk menentang fikiran orang arab
yang dijuarai oleh akhbar dan majalah-majalah penerbitan mereka di Singapura
(lihat Utusan Melayu 10 tahun).
Kata A. Samad Ismail,
"Tujuan utama Utusan diterbitkan untuk menyedarkan orang Melayu supaya
tidak memandang tinggi kepada orang Arab, mencium tangan tuan syed dan juga
membantah sekatan orang Melayu berkahwin dengan Syed atau Syarifah,"
tetapi bagi Samad itu bukan tujuannya menyertai Utusan Melayu (Memoir Samad
Ismail di Singapura terbitan UKM)
Bagaimanapun, Presiden UMNO
yang pertama Datuk Onn telah mencairkan semangat cauvinisme Melayu yang sempit
ini untuk suatu perjuangan yang lebih besar yang diinisiatifkan oleh Utusan
Melayu sendiri iaitu untuk menentang Malayan Union.
Utusan Melayu merupakan
satu-satunya akhbar Melayu yang menyiarkan sepenuhnya gagasan Malayan Union
yang dikemukakan oleh British pada keluaran 11 Oktober 1945, setelah pengumuman
dibuat di London dan Utusan Melayu menyeru kebangkitan orang Melayu untuk
menentang gagasan itu yang bertujuan untuk menghapuskan Raja Melayu.
Datuk Onn yang bersetuju untuk
menyambut seruan itu telah meyakinkan Pengasas Utusan Melayu Yusof Ishak supaya
Utusan Melayu tidak lagi meneruskan kempen memisahkan DKK dan DKA dengan orang
Melayu kerana perpaduan Melayu lebih luas diperlukan untuk mendukung perjuangan
yang lebih besar.
Dalam Kongres merasmikan
penubuhan UMNO di Istana Besar Johor, Datuk Onn mengakui bahawa
"Perjumpaan kita hari ini terbit dari seruan Utusan Melayu"
Datuk Onn telah menulis surat
terima kasih kepada Yusuf Ishak tetapi sokongan Utusan Melayu kepada UMNO tidak
berkekalan kerana Utusan Melayu melihat Perlembagaan Persekutuan yang
dikemukakan oleh British bagi menggantikan Malayan Union sebagai tidak
memberikan hak mutlak kepada rakyat.
Yusuf Ishak yang ketika itu
menjadi Pengarang dan Pengarah Utusan Melayu menganggap Datuk Onn dan
rakan-rakannya mabuk kuasa dengan kejayaan yang tidak disangka-sangka sehingga
meletakkan kepercayaan yang terlalu tinggi kepada kerajaan British dan menerima
Perlembagaan Persekutuan yang tidak memberikan serta merta taraf dominan yang
secukupnya kepada orang Melayu (Yusuf dalam Utusan Melayu 10 tahun).
Rencana Pengarang Utusan Melayu
pada 18 November 1947 telah bertanya, "Selepas raja-raja diletakan semula
di takhta, adakah UMNO akan dapat mengawal mereka" dan ini diikuti dengan
penegasan kepercayaan Utusan Melayu kepada kedaulatan rakyat dalam rencana
pengarangnya pada 7 Oktober 1947.
Utusan Melayu turut menyokong
Hartal (penutupan semua kedai perniagaan sebagai mogok ekonomi) yang
dilancarkan di Malaya dan Singapura bagi menentang Perlembagaan Persekutuan
pada 20 Oktober 1947. Aktif menyokong gerakan ini adalah Parti Komunis Malaya
(PKM). Akhbar Melayu, Majlis telah menentangnya dan meletakkan tanggungjawab
sekiranya berlaku akibat yang buruk kepada Parti Komunis Malaya.
Utusan Melayu seterusnya telah
memulaukan berita mengenai penubuhan Persekutuan Tanah Melayu di bawah
Perlembagaan Persekutuan pada 1 Februari 1948.
Samad telah memainkan peranan
penting dalam mencorakkan dasar dan perjuangan Utusan Melayu yang diwarisi oleh
anak didiknya yang ditinggalkannya di Utusan Melayu apabila beliau menyertai
Kumpulan Straits Time.
Arah
Peralihan Utusan Melayu ke arah
menyokong UMNO telah memperkukuhkan sokongan orang Melayu kepada UMNO sebagai
sebuah parti yang menjadi tunjang kepada parti Perikatan dan Barisan Nasional.
Malah Samad yang merintis perjuangan kiri Utusan Melayu akhirnya menjadi
penyokong kuat kepada Tun Razak, Perdana Menteri Malaysia Kedua. Samad membawa
beberapa orang rakan seperjuangannya dari kalangan Marxis untuk membantu Tun
Razak. Di antaranya ialah James Puthuceary dan Abdullah Majid.
James memberikan sumbangan yang
besar dalam pembentukan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Baginya hanya satu cara untuk
membawa orang Melayu ke dalam arus perdana ekonomi, dengan campur tangan
kerajaan menerusi badan-badan awam yang dibiayai oleh kerajaan (Lihat No
Cowardly Past, muka 32).
Nyatalah bahawa Samad sekalipun
merupakan seorang Nasionalis Marxis tetapi beliau telah dapat mempengaruhi
rakan-rakan bukan Melayu yang sealiran dengannya untuk melihat masalah
kehidupan orang Melayu secara adil.
Utusan Melayu (Utusan Malaysia)
telah menjuarai kempen bagi penerimaan rakyat terhadap DEB dan merupakan akhbar
yang paling lantang dan keras menyuarakan bantahan apabila kerajaan Negeri
Pulau Pinang di bawah pimpinan DAP mahu mengenepikannya sebaik sahaja menang
dalam pilihan raya 2008.
Tsunami 2008 yang berlaku atas
sebab kelemahan kerajaan mengawal aliran pemikiran rakyat dari terkeluar dari
acuan doktrin Mei 1969 telah meletakkan Utusan Malaysia dalam suatu keadaan
yang amat sukar apatah lagi tugas ini terserah hanya kepada Utusan Malaysia dan
tidak disertai oleh lain-lain akhbar. Tiada lagi kesatuan dan setiakawan
seperti sikap media arus perdana selepas tragedi 13 Mei.
Perjuangan Utusan Melayu
menentang Perlembagaan Persekutuan dan menuntut Perlembagaan Rakyat yang telah
dipatahkan oleh UMNO pada tahun 1961 telah diapikan semula oleh pakatan
pembangkang tetapi kali ini yang berada di hadapan dalam perjuangan ini bukan
lagi nasionalis-nasionalis Melayu yang berkredibiliti seperti Dr Burhanuddin
Hilmi, Ishak Haji Muhammad, Ibrahim Yaacob, Ahmad Boestaman, Samad Ismail dan
lain-lain tetapi sebaliknya dipimpin oleh ulama jumud, kolot, homoseksual dan
juga cauvinis Cina.
Perjuangan Utusan Malaysia ini
semakin sulit kerana rakyat tidak lagi dapat melihat dengan jelas musuh seperti
generasi terdahulu yang mengenali bahaya komunisme dan juga Melayu Raya. Tetapi
pendokong-pendokong Utusan Malaysia terbukti tidak terkeliru dan tidak takut
dengan ugutan sebaliknya tetap berpegang kepada prinsip dan dasar perjuangannya
untuk bangsa, agama dan tanah air.
Catitan sejarah menunjukkan
bahwa Utusan Melayu bukanlah akhbar yang semata-mata mementingkan komersial
tetapi lebih mengutamakan dirinya sebagai institusi perjuangan. Utusan Melayu
telah dilabelkan sebagai akhbar perjuangan oleh Professor William R. Roff dalam
bukunya The Origin of Malay Nationalism, terbitan Universiti Malaya 1975).
Sekalipun pemulauan dilakukan
terhadapnya oleh Pakatan Rakyat dan edarannya tidak sebesar dahulu tetapi
pengaruhnya semakin kuat, suaranya semakin berani dan digeruni dan setiap
langkahnya terbilang dan menggoncang.
Sungguh menggembirakan bila
mendapati akhir-akhir ini berkat dari kegigihan para pendokongnya yang inovatif
dan membawa berbagai perubahan di samping memperkuatkan komitmen perjuangannya,
Utusan Malaysia sedang meningkat semula, keyakinan pembaca semakin tinggi
kerana pendedahan demi pendedahan yang dilakukan terbukti benar yang
memperkukuhkan lagi kredibiliti dan keramatnya yang diwarisi sejak zaman
berzaman.
SUMBER:http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0925&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_06.htm#ixzz2s5Vlds5H
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment