Oleh HAFIZ ABBAS
mohdhafiz.abbas@kosmo.com.my
BALJIT (tengah) menjawab soalan
pemberita selepas membuat laporan polis berhubung insiden di Stadium Tan Sri
Hassan Yunos, Larkin Sabtu lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan
semalam. Turut kelihatan Jimenez (kanan) dan Fahmi.
KETUA jurulatih Johor Darul
Takzim (Johor DT), Cesar Ferrando Jimenez membuat laporan polis berhubung
insiden pergaduhan di dalam terowong masuk ke bilik persalinan pemain di
Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin Sabtu lalu.
Jimenez yang juga pengurus
skuad Harimau Selatan membuat laporan berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah
Johor Bahru Selatan kira-kira pukul 2 petang semalam.
Turut mengiringi Jimenez ialah
peguam, Datuk Baljit Singh Sidhu, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri
Johor (PBNJ), Onn Jabar dan Setiausaha Kehormat PBNJ, Mohd. Fahmy Yahya.
Baljit memberitahu, laporan itu
dilakukan bagi menjelaskan perkara sebenar yang berlaku sambil menyatakan
Jimenez merupakan mangsa dalam kejadian tersebut.
"Terlalu banyak tohmahan
mengenai insiden itu. Fakta juga tidak diberi dengan jelas dan disebabkan itu,
dia (Jimenez) tampil buat laporan bahawa sebenarnya dia yang diserang oleh
jurulatih kecergasan T-Team dan pemain yang memakai jersi No. 16 pasukan
tersebut.
"Dalam insiden tersebut,
kolar bajunya telah ditarik oleh jurulatih kecergasan T-Team, itu sebenarnya
yang berlaku.
"Dia (Jimenez) diserang
termasuk dengan kata-kata kesat dan selain daripada itu, tiada apa yang
berlaku," dedahnya kepada pemberita.
Tambah Baljit, PBNJ juga akan
menyiasat secara terperinci berkaitan perkara berkenaan termasuk mengambil
tindakan sewajarnya jika terdapat fitnah atau tohmahan tidak berasas.
"Pada masa sama, PBNJ akan
memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dan Persatuan Bola Sepak
Malaysia (FAM)," katanya.
Sementara itu, Ketua Jabatan
Siasatan Jenayah Johor, Datuk Hasnan Hassan dalam satu kenyataan akhbar
mengesahkan salah seorang pegawai skuad Johor DT telah membuat laporan polis
berkaitan insiden tersebut.
Beliau berkata, laporan polis
itu telah dirujuk kepada pasukan penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman
dan siasatan sedang dijalankan.
Kelmarin, pemain T-Team, pihak
pengurusan dan jurulatih kecergasan pasukan berstatus kelab itu membuat empat
laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Terengganu berhubung insiden
tersebut.
Pemain dan jurulatih kecergasan
T-Team yang didakwa terlibat ialah pemain import dari Brazil, Evaldo Rodrigues
dan jurulatih, Stefano Impagliazzo.
SUMBER:KOSMO ONLINE 5.2.14
aduhh..macam-macam hal....bila nak buat game semula?
ReplyDelete