Ad

Tuesday 4 February 2014

Giliran Jimenez buat laporan polis

Oleh HAFIZ ABBAS
mohdhafiz.abbas@kosmo.com.my
 
BALJIT (tengah) menjawab soalan pemberita selepas membuat laporan polis berhubung insiden di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin Sabtu lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan semalam. Turut kelihatan Jimenez (kanan) dan Fahmi.

KETUA jurulatih Johor Darul Takzim (Johor DT), Cesar Ferrando Jimenez membuat laporan polis berhubung insiden pergaduhan di dalam terowong masuk ke bilik persalinan pemain di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin Sabtu lalu.

Jimenez yang juga pengurus skuad Harimau Selatan membuat laporan berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan kira-kira pukul 2 petang semalam.

Turut mengiringi Jimenez ialah peguam, Datuk Baljit Singh Sidhu, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Onn Jabar dan Setiausaha Kehormat PBNJ, Mohd. Fahmy Yahya.

Baljit memberitahu, laporan itu dilakukan bagi menjelaskan perkara sebenar yang berlaku sambil menyatakan Jimenez merupakan mangsa dalam kejadian tersebut.

"Terlalu banyak tohmahan mengenai insiden itu. Fakta juga tidak diberi dengan jelas dan disebabkan itu, dia (Jimenez) tampil buat laporan bahawa sebenarnya dia yang diserang oleh jurulatih kecergasan T-Team dan pemain yang memakai jersi No. 16 pasukan tersebut.

"Dalam insiden tersebut, kolar bajunya telah ditarik oleh jurulatih kecergasan T-Team, itu sebenarnya yang berlaku.

"Dia (Jimenez) diserang termasuk dengan kata-kata kesat dan selain daripada itu, tiada apa yang berlaku," dedahnya kepada pemberita.

Tambah Baljit, PBNJ juga akan menyiasat secara terperinci berkaitan perkara berkenaan termasuk mengambil tindakan sewajarnya jika terdapat fitnah atau tohmahan tidak berasas.

"Pada masa sama, PBNJ akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM)," katanya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Johor, Datuk Hasnan Hassan dalam satu kenyataan akhbar mengesahkan salah seorang pegawai skuad Johor DT telah membuat laporan polis berkaitan insiden tersebut.

Beliau berkata, laporan polis itu telah dirujuk kepada pasukan penyiasat dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman dan siasatan sedang dijalankan.

Kelmarin, pemain T-Team, pihak pengurusan dan jurulatih kecergasan pasukan berstatus kelab itu membuat empat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Terengganu berhubung insiden tersebut.

Pemain dan jurulatih kecergasan T-Team yang didakwa terlibat ialah pemain import dari Brazil, Evaldo Rodrigues dan jurulatih, Stefano Impagliazzo.

SUMBER:KOSMO ONLINE 5.2.14

1 comment:

  1. aduhh..macam-macam hal....bila nak buat game semula?

    ReplyDelete