Dr. Tatiana V. Dorofeeva
MOSCOW 4 Feb. - Pakar bahasa
Melayu berbangsa Rusia yang juga individu pertama memperkenalkan bahasa
kebangsaan di negara Soviet Union, Dr. Tatiana V. Dorofeeva, 64, meninggal
dunia minggu lepas akibat penyakit barah..
Beliau memperkenalkan pengajian
bahasa Melayu di Institut Negara-Negara Asia dan Afrika, Moscow State
University dan University of Applied Oriental Studies, Moscow.
Dorofeeva yang memegang jawatan
sebagai Setiausaha Persatuan Nusantara telah menyatukan para pengkaji dunia
Melayu, Moscow dan St.Petersburg, merupakan individu yang amat meminati dan
cintakan bahasa Melayu lebih daripada segalanya.
Kali pertama pensyarah itu jatuh
cinta kepada bahasa Melayu ialah ketika beliau mendapat peluang menjadi pelajar
pemerhati di Universiti Malaya pada tahun 1970 hingga 1971.
Ketika itu, Dorofeeva merupakan
pengajar di Jabatan Filologi Negara-Negara Asia Tenggara.
Dorofeeva pernah menceritakan
bahawa beliau menyedari versi bahasa Melayu yang dijadikan bahasa kebangsaan di
negara ini sepatutnya mendapat tempat tersendiri di dalam kurikulum
universitinya.
Berkat usaha dan kegigihan
Dorofeeva, pengajian Melayu (Malaysia) dilancarkan di jabatannya pada 1972 dan
beliau menjadi pensyarah pertama bahasa Melayu sehingga ke akhir hayatnya.
Bekas pensyarah itu sentiasa
memberi harapan kepada para pelajarnya untuk mendapat peluang pekerjaan dalam
bidang berkaitan bahasa Melayu, sama ada di Malaysia atau di Rusia.
Dorofeeva bukan sahaja pakar
dalam bidang bahasa Melayu dan mempunyai doktor falsafah (Ph.D) dalam bidang
Linguistik (bahasa Melayu), bahkan beliau juga seorang penterjemah dan
penyelidik, penulis rencana akademik bahasa dan sejarah bahasa Malaysia dan
penulis buku teks bahasa Melayu.
Antara sumbangannya ialah
menjadi pengasas pengajian bahasa Melayu di Rusia, menghasilkan buku pelajaran
bahasa Melayu bagi pelajar di negara itu dan menerbitkan buku bertajuk Sejarah
Penulisan Bahasa Melayu.
Beliau juga pernah menerbitkan
terjemahan novel Seluang Menodak Baung karya Sasterawan Negara Datuk Shahnon
Ahmad ke dalam bahasa Rusia.
n OLGA Vadimovna Vasilevskaya
merupakan bekas juara Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu 2007.
SUMBER:http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2012&dt=0205&pub=utusan_malaysia&sec=Dalam_Negeri&pg=dn_07.htm#ixzz2s5bR8bXS
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment