Oleh
Syed Riduan Ahmad dan Farah Marshita Abdul Patah
Kuala Lumpur: Bekas pemain
Kuala Lumpur, Hafizi Roslee, memfailkan saman pemula terhadap Persatuan Bola
Sepak Malaysia (FAM) berhubung penggantungan seumur hidupnya daripada sebarang
kegiatan bola sepak kerana didapati terbabit rasuah dan mengatur perlawanan.
Hafizi, 29, memfailkan saman
itu terhadap FAM dan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), masing-masing
selaku defendan pertama dan kedua, melalui Tetuan Khairuddin Ngiam & Tan di
Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di sini, pada 26 Februari lalu.
Peguam Kevin De Rozario, yang
mewakili Hafizi, berkata mahkamah menetapkan 17 Mac ini untuk pengurusan kes di
depan Pesuruhjaya Kehakiman, Rosilah Yop.
“Melalui saman pemula itu,
Hafizi memohon perintah mahkamah untuk membatalkan keputusan FAM yang
menggantungnya seumur hidup daripada sebarang kegiatan bola sepak.
Tidak berperlembagaan
“Plaintif turut memohon
deklarasi bahawa segala tatacara, prosiding tatatertib, hukuman dan rayuan
dalam Kod Tatatertib FAM Edisi 2012, adalah tidak berperlembagaan, sembarangan
dan bercanggah dengan peraturan keadilan asasi serta polisi awam.
“Hafizi juga memohon deklarasi
bahawa perbicaraan yang dikendalikan FAM tanpa kehadirannya adalah batal dan
tidak sah,” katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.
Turut hadir Hafizi dan
isterinya, Eammy Farina Mohd Moslim yang kini sedang hamil anak pertama mereka.
Pada 20 Disember lalu, Hafizi
bersama empat pemain lain, digantung seumur hidup dan dikenakan denda RM20,000
oleh FAM selepas didapati bersalah atas tuduhan rasuah dan mengatur perlawanan.
Empat pemain terbabit ialah
Fadhullah Yunsifar, Phoo Kai Lun, Khairul Anuar Shafie dan Jeremy Danker.
Ketua jurulatih Kuala Lumpur,
Stanislav Lieskovsky dari Slovakia; penolong pengurus, Rosli Omar dan pegawai
pasukan, Saari Jani, turut didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman sama.
SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE
8.3.14
No comments:
Post a Comment