Pada hari ini dalam tahun
1967, bahasa Melayu telah dijadikan
Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Rasmi yang tunggal bila Dewan Rakyat meluluskan
Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan 1967.
Rang Undang-undang ini telah dibentangkan oleh Perdana Menteri Tunku
Abdul Rahman pada 2 Mac 1967 dan telah disokong oleh Menteri Kewangan Tan Siew
Sin. Perbahasan yang hangat telah terjadi selama dua hari suntuk dengan
bangkangan ahli-ahli pembangkang ketika itu. Tokoh-tokoh bahasa, sasterawan dan
rakyat Melayu memang telah lama berjuang untuk menegakkan bahasa Melayu sebagai
Bahasa Kebangsaan dan Bahasa Rasmi. Walau bagaimanapun usaha ini kurang berjaya
dan pemimpin-pemimpin kerajaan berjanji akan menaikkan taraf bahasa Melayu
kepada Bahasa Kebangsaan dan Rasmi hanya 10 tahun selepas Merdeka 1957. Oleh kerana itu
Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu, Perkara 52, Fasal I, telah mencatatkan
bahawa bahasa-bahasa lain tidak boleh ditegah dari digunakan. Fasal 3, 4 dan 5 pula telah membenarkan
bahasa Inggeris digunakan sebagai bahasa rasmi, bahasa Undang-undang,
perbincangan dan tugas-tugas mahkamah. Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan
1967 ini adalah bertujuan untuk menghapuskan penggunaan bahasa Inggeris sebagai
bahasa rasmi dan menggantikannya dengan bahasa Melayu. Di samping itu juga,
perbahasan di Parlimen mestilah dijalankan dalam bahasa Melayu. Walau bagaimanapun bahasa-bahasa lain masih
boleh digunakan dalam kehidupan harian ataupun dengan cara membuat terjemahan
ke dalam bahasa Melayu. Di Sabah dan
Sarawak, Bahasa Inggeris masih boleh digunakan sebagai bahasa rasmi kecuali
kalau ada bantahan dari Dewan Undangan Negeri. Setelah dibahaskan dengan begitu
hangat, Rang Undang-undang Bahasa Kebangsaan 1967 telah berjaya diluluskan oleh
Dewan Rakyat pada hari ini dalam tahun 1967. Dengan lulusnya Rang Undang-undang
Bahasa Kebangsaan 1967 itu bahasa Melayu akhirnya dimahkotakan sebagai Bahasa
Kebangsaan dan Bahasa Rasmi yang tunggal di negara kita dan berkuatkuasa mulai
1 September 1967.
SUMBER: http://hids.arkib.gov.my/
No comments:
Post a Comment