Pada hari ini 4.3 dalam tahun
1971, Menteri Muda Pertahanan, Tengku Ahmad Rithaudden Ismail telah mengumumkan
penubuhan Maktab Turus Angkatan Tentera yang pertama yang akan dibina di Haigate,
Kuala Lumpur (berdekatan dengan Kompleks Kementerian Pertahanan). Cadangan
penubuhan Maktab ini telah mula disuarakan oleh YAB Tun Abdul Razak bin Dato’
Hussein sejak tahun 1969 lagi. Maktab
Turus Angkatan Tentera merupakan institusi pengajian kedua tertinggi di dalam
Angkatan Tentera. Matlamat utama penubuhan Maktab ini adalah untuk melatih
pegawai-pegawai yang terpilih agar menjadi pegawai staf terlatih di dalam
Tentera Darat, Laut dan Udara. Maktab yang telah dirasmikan pada 8 Januari 1972
oleh Perdana Menteri, Tun Abdul Razak bin Dato’ Hussein ini telah memulakan
kursus yang pertamanya pada Januari 1972 dengan 30 orang siswa dari ketiga-tiga
perkhidmatan. Bilangan penuntut bertambah pada tahun berikutnya dengan
penyertaan siswa dari Polis Diraja Malaysia dan Pegawai Tadbir dan Diplomatik.
Penyertaan siswa dari luar negara bermula pada tahun 1974. Pada tahun 1995,
Maktab ini maju setapak lagi selaras dengan keperluan pertahanan negara apabila
melaksanakan program berkembar lepasan ijazah dengan Fakulti Sastera dan Sains
Sosial, Universiti Malaya, iaitu Diploma Pengajian Strategik dan
Pertahanan.
SUMBER: http://hids.arkib.gov.my/
No comments:
Post a Comment