Francis Forkey Doe (kiri)
meledak gol kemenangan Kelantan pada minit terakhir permainan ketika menewaskan
LionsXII, kelmarin.
KOTA BHARU - Disiplin tinggi
yang dipamerkan The Red Warriors (TRW) adalah kunci utama yang membawa mereka
menundukkan juara Liga Super, LionsXII 2-1 di Stadium Jalan Besar kelmarin,
biarpun menamatkan permainan dengan 10 pemain.
Kemenangan tersebut turut
membantu Kelantan merampas teraju liga dengan mengumpul 12 mata daripada enam
perlawanan, dua mata meninggalkan pencabar rapat, Johor Darul Tazim dan
Terengganu.
Pengurus pasukan, Azman Ibrahim
kagum dengan semangat juang pemainnya, meskipun berdepan pelbagai ujian,
termasuk ketinggalan 0-1 di babak pertama, selain beraksi di permukaan padang
sintetik yang selama ini memberi kelebihan kepada wakil Singapura itu.
Menurutnya, kegigihan pemain
yang tidak mudah hilang fokus menyaksikan mereka berjaya mendapat jaringan
penyamaan pada minit ke-50, dan ia menjadi titik kebangkitan pasukan.
"Kemenangan ini adalah
satu bonus kerana pada awalnya kita menetapkan sasaran untuk seri kerana
beraksi di atas permukaan rumput tiruan bukanlah tugas mudah.
"Namun pemain berjaya
menyesuaikan diri dengan permukaan tersebut dan akhirnya kemenangan berpihak
kepada The Red Warriors," katanya.
Azman berharap, rentak
cemerlang itu dapat diteruskan pada perlawanan seterusnya bagi mengelak
Kelantan keciciran mata.
Dalam perlawanan kelmarin, tuan
rumah membuka tirai jaringan menerusi Khairul Amri pada minit ke-26, sebelum
penyerang kebangsaan, Ahmad Fakri Saarani menyamakan kedudukan pada minit
ke-50.
Hasrat tuan rumah untuk
memungut mata penuh berkecai apabila pemain import kelahiran Liberia, Francis
Forkey Doe meledakan gol kemenangan The Red Warriors pada minit ke-90.
Azman turut menghambur pujian
kepada Ahmad Fakri, Khairul Fahmi Che Mat serta ketua pasukan, Mohd. Badhri
Radzi yang beraksi cemerlang walaupun baharu selesai menggalas misi bersama
Harimau Malaya.
Ketiga-tiga pemain itu tidak
menunjukkan kepenatan sebaliknya mempamer semangat juang tinggi dengan membantu
pasukan melakar kemenangan
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140310/su_06/Disiplin-tinggi-kunci-kemenangan-TRW#ixzz2vY4Sfk1S
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment