Kapal Penyelamat Kawalan Pantai
China (kanan) dan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia melakukan rondaan di
kawasan yang dipercayai MH370 hilang dari radar di perairan Laut China Selatan,
semalam. - Gambar Ihsan Unit Perhubungan Maritim Malaysia
KUALA LUMPUR 10 Mac - Rata-rata
pakar dan penganalisis penerbangan melahirkan rasa bingung dan terkejut dengan
misteri kehilangan pesawat MH370 sejak awal pagi Sabtu lalu.
Penganalisis penerbangan, Dr.
Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ini merupakan pengalaman pertama kehilangan
pesawat canggih seperti MH370 walaupun beliau telah berkecimpung dalam kerjaya
ini selama puluhan tahun.
Bekas Ketua Jabatan Aeroangkasa
Universiti Pertanian Malaysia itu berkata, beliau sedaya upaya mengkaji segala
macam kemungkinan yang mungkin terjadi kepada pesawat tersebut namun 'buntu'
walaupun sudah masuk hari ketiga.
"Kita tahu dan sedia
maklum dengan bencana alam dan tragedi akan berlaku dalam mana-mana lapangan.
Namun, ini merupakan kejadian pertama yang mempunyai seribu persoalan.
"Saya sendiri tidak pasti
apa lagi yang boleh saya komen. Industri penerbangan masih terkejut dan bingung
memikirkan segala kemungkinan yang telah terjadi dengan pesawat MH370,"
katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Industri penerbangan Malaysia
semalam dikejutkan dengan kehilangan pesawat MH370 yang membawa 227 penumpang
dan 12 anak kapal dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke
Beijing, China selepas terputus hubungan dengan Pusat Kawalan Trafik Udara
Subang pada pukul 2.40 pagi.
Sebanyak 34 pesawat dan 40
kapal milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim
Malaysia (Maritim Malaysia), Polis Diraja Malaysia (PDRM) beserta kelengkapan
dari Thailand, Singapura, China, Indonesia, Filipina, Australia dan Amerika
Syarikat telah dikerahkan untuk operasi mencari dan menyelamat.
Jelas beliau, adalah sesuatu
yang luar biasa kerana dalam insiden berkenaan, kapal terbang dan menara
kawalan tidak berkomunikasi seperti kebiasaan.
"Menara kawalan tidak
menerima apa-apa isyarat, tiada bangkai atau serpihan andai terhempas, tiada
isyarat kecemasan. Mungkin juga juruterbang patah balik mengikut gerak hati.
Sukar untuk membuat sebarang andaian ketika ini. Semuanya nampak seperti mimpi
dan mustahil untuk ditafsirkan.
"Mungkin berlaku perkara
yang mengejutkan pada enjin atau letupan sehingga menyebabkan sistem kawalan
berada di luar kawalan biasa sehingga menyebabkan terputusnya hubungan,"
katanya.
Tambahnya, beliau dimaklumkan
pesawat MH370 sudah diselenggarakan dua minggu lepas dan sekiranya terdapat
kerosakan sekalipun, masih mampu untuk berhubung dengan pusat kawalan.
Pakar Oseanografi dan Sekitaran
Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Dr. Mohd. Fadzil Mohd. Akhir pula membuat
andaian, kemungkinan MH370 terhempas ke laut.
"Ini hanyalah salah satu
andaian, mungkin pesawat terhempas dan hanyut ke arah Teluk Thailand, atau ke
perairan Malaysia.
"Walau bagaimanapun, semua
andaian ini hanyalah kemungkinan yang berlaku kepada pesawat tersebut. Kejadian
ini masih kekal misteri dan sukar dijawab," ujarnya.
Sementara itu, seorang
juruterbang veteran yang pernah berkhidmat dengan agensi kerajaan mendakwa,
dalam tempoh kurang dari 24 jam ini, kemungkinan 'misteri' kehilangan pesawat
MH370 akan mendapat petanda penting.
"Saya rasa kita akan dapat
dapat sedikit petunjuk dalam tempoh kurang dari 24 jam ini. Kita perlu banyak
berdoa dan yakin dengan usaha yang sedang dilakukan oleh semua pihak.
"Tidak mungkin pesawat itu
hilang daripada radar begitu sahaja, risiko tersebut sangatlah rendah"
katanya.
SUMBER-Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140311/dn_08/Pakar-bingung-pesawat-hilang#ixzz2ve6nievk
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment