Ad

Wednesday, 4 March 2015

Makhluk aneh di Sibu

RABU, 4 MAC 2015 @ 12:07 AM
Oleh Nasron Sira Rahim nasronsirarahim@gmail.com
 
KEMUNCULAN makhluk aneh seakan-akan watak fiksyen Gollum dalam filem 'The Lord of the Rings' di Sibu, Sarawak, Januari lalu mencetuskan kegemparan dalam kalangan penduduk negara ini yang bingung memikirkan asal kejadian makhluk itu.

Tatkala melihat rakaman makhluk menerusi media sosial, ramai penduduk diasak kebingungan, lantaran tidak pernah melihat hidupan aneh seakan-akan raksasa mistik itu di mana-mana tempat sebelum ini.

Mengikut laporan akhbar, makhluk aneh berkuku panjang dan tajam serta badan tidak berbulu itu ditemui sekumpulan pekerja ketika membersihkan ladang sawit di Jalan Bintangor-Sibu, kira-kira jam 10 pagi.

Seorang pekerja dikenali sebagai Ardie, 30, dilaporkan berkata, dia dan rakan terdengar bunyi pelik sebelum ternampak seekor makhluk aneh kira-kira 10 meter di hadapan mereka. Haiwan yang gagal dikenal pasti spesiesnya itu kemudian meluru ke arah mereka seakan-akan mahu menerkam.

Pukul hingga pengsan

"Terkejut melihat binatang itu bertindak agresif, rakan saya terus mencapai sebatang kayu dan memukulnya hingga pengsan. Sebaik haiwan tersebut sedar semula, kami menghalaunya masuk ke dalam hutan," katanya.

Sebenarnya, tanpa diketahui ramai pihak di Malaysia, 'spesies' makhluk aneh hampir menyerupai haiwan misteri di Sibu itu pernah dijumpai di beberapa negara lain terutama sekitar Amerika Syarikat sebelum ini.

Antaranya mengikut laman informasi Wikipedia, pada Ogos 2007, Phylis Canion bersama jirannya menjumpai tiga bangkai makhluk aneh di tanah miliknya di Cuero, Texas. Wanita itu merakamkan gambar makhluk itu dan menyimpan kepala seekor daripadanya dalam peti sejuk.

Canion berkata, sebelum itu, hampir 30 ayam ternakannya mati dipercayai akibat dihisap darah oleh makhluk tertentu. Pada September 2009 pula, agensi penyiaran CNN menyiarkan rakaman penemuan bangkai makhluk misteri di Blanco, Texas. Makhluk itu ditemui mati dalam bangsal selepas dipercayai terkena racun tikus. Jasad makhluk itu kemudian diawet dan ditempatkan di Lost World Museum.


Asal makhluk berkenaan gagal dikenal pasti daripada mana-mana spesies haiwan yang terdapat dalam katalog fauna dunia menyebabkan penemuan bangkai misteri itu dengan pantas mencetuskan kegemparan di kalangan penduduk tempatan.

Ketika itulah segelintir penduduk meyakini bangkai itu sebenarnya milik makhluk legenda mistik digelar 'chupacabra' yang sudah lama dimomokkan dalam masyarakat tetapi bukti kewujudannya masih gagal diabsahkan sehingga kini.

Cerita mengenai chupacabra bermula sekitar Mac 1995 di Puerto Rico apabila lapan biri-biri ditemui mati dengan setiap satunya memiliki tiga lubang tusukan pada dada dipercayai akibat gigitan taring. Darah semua biri-biri didapati kering kononnya dihisap makhluk tertentu.

Sejak itu, semakin banyak kes kematian haiwan ternakan dengan kesan sama dilaporkan sehingga di negara lain seperti Republik Dominika, Argentina, Bolivia, Chile, Colombia, Brazil, Mexico termasuklah di benua lain seperti Russia dan Filipina.

Beberapa saksi mendakwa pernah melihat makhluk menyerang ternakan itu dan ia bukanlah haiwan biasa sebaliknya spesies hidupan yang tidak pernah dikenal pasti dunia sains sebelum ini. Makhluk misteri berkaki empat dengan jasad kurus tanpa bulu itu kemudian dikenali sebagai chupacabra dan dimomokkan memiliki kejahatan seperti pontianak iaitu akan menyerang serta menggigit mangsa terutamanya haiwan ternakan untuk menghisap darah.

Bijak sembunyi diri

Chupacabra juga kononnya amat bijak menyembunyikan diri bagi mengelak terserempak orang ramai menyebabkan kewujudannya tidak pernah diketahui manusia. Sejak kewujudannya diketahui umum pada tahun 1995, laporan mengenai chupacabra dan kematian banyak haiwan peliharaan akibat diserang dengan dihisap darah semakin menjadi-jadi. Malah, lebih mendebarkan apabila terdapat laporan penemuan bangkai chupacabra!

Adakah benar chupacabra ialah spesies makhluk mistik yang sudah lama wujud di dunia tetapi tidak diketahui manusia selama ini? Adakah benar makhluk berkenaan persis pontianak dengan menyerang dan menghisap darah mangsanya? Adakah benar makhluk misteri ditemui di Sibu itu ialah chupacabra?

Bagi merungkai semua misteri membingungkan minda ramai pihak itu, saintis dan penyelidik menjalankan kajian menyeluruh bagi mencari jawapan kepada teka-teki kewujudan chupacabra.

Pada Julai 2004, seorang peladang berhampiran San Antonio, Texas berjaya membunuh chupacabra yang menyerang haiwan ternakannya. Makhluk berkaki empat dengan jasad tanpa bulu digelar 'Raksasa Elmendorf' itu kemudian dihantar ke Universiti California untuk dikaji.

Berdasarkan ujian DNA yang dijalankan, misteri kewujudan makhluk chupacabra itu akhirnya terjawab. Makhluk berkenaan sebenarnya bukanlah spesies haiwan aneh yang tidak pernah wujud sebelum ini sebaliknya adalah serigala koyote yang memiliki penyakit kurap sehingga menyebabkan fizikal tubuh haiwan itu turut berubah dan tidak memiliki bulu.

Pada Oktober 2010, Pakar Biologi dari Universiti Michigan, Barry O'Connor, menyimpulkan semua laporan kewujudan chupacabra di Amerika Syarikat sebenarnya berupa haiwan terutamanya serigala koyote yang dijangkiti parasit Sarcoptes scabiei. Jangkitan itu menyebabkan haiwan terbabit memiliki fizikal berbeza dan menakutkan iaitu tidak memiliki bulu, kurus kering dan berbau busuk.

O'Connor juga mengemukakan teori haiwan berkurap itu menyerang ternakan kerana tidak lagi berupaya bergerak cergas untuk memburu haiwan liar sebagai makanan. Justeru, tidak mustahil jika makhluk aneh di Sibu itu juga sebenarnya hanyalah haiwan hutan biasa seperti beruang yang sebenarnya berpenyakit atau dijangkiti penyakit kurap sehingga menyebabkan bentuk fizikalnya sudah lagi tidak dapat dikenali manusia.

Bagaimanapun, berikutan makhluk aneh itu sudah kembali ke hutan, maka tiada kajian lanjut dapat dilakukan dan segala persoalan membabitkan asal-usul makhluk itu kini kekal sebagai misteri.

SUMBER-BERITA HARIAN ONLINE 4.3.2015

No comments:

Post a Comment