02 Mei 2016 12:24 AM
MELAKA 1 Mei – Penjaga gol
simpanan Melaka United, Marco Stefan Petrovski menghembuskan nafas terakhirnya
di Hospital Pakar Putra (HPP) di sini petang ini, hampir sebulan selepas tidak
sedarkan diri akibat dipanah petir pada awal bulan lalu.
Marco Stefan Petrovski
Pemain naturalisasi kelahiran
Australia berusia 18 tahun itu meninggal dunia kira-kira pukul 4 petang,
berikutan kecederaan serius yang dialaminya setelah disambar petir ketika
menjalani latihan pada 5 April lalu.
Petrovski menerima rawatan di
Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Melaka pada hari kejadian sebelum dihantar ke
HPP pada 11 April lalu untuk rawatan lanjut.
Ketua Pegawai Eksekutif HPP,
Datuk Radhuana Salleh ketika dihubungi hari ini mengesahkan kematian pemain
itu.
“Sepanjang menerima rawatan di
sini, Petrovski bergantung kepada alat bantuan pernafasan.
“Mayatnya telah dibawa ke
Hospital Melaka untuk proses bedah siasat,” katanya.
Sementara itu, Ketua Menteri
Datuk Seri Idris Haron, yang juga Presiden Melaka United, turut mengesahkan
kematian pemain itu menerusi mesejnya kepada wartawan.
Mayat Petrovski tiba di Jabatan
Perubatan Forensik Hospital Melaka kira-kira 6.50 petang. Turut berada di
hospital ialah ibunya Marie Lupang dan saudara mara.
Marie bagaimanapun enggan ditemubual
berikutan masih bersedih dengan kehilangan anak tunggalnya itu.
Difahamkan, mayatnya akan
diterbangkan ke Australia untuk disemadikan.
Petrovski tidak sedarkan diri
akibat dipanah petir ketika menjalani latihan bersama skuad Piala Presiden
Melaka di Padang 10, Kompleks Sukan Hang Jebat. Kejadian itu turut melibatkan
seorang lagi pemain Muhammad Afiq Azuan, 21.
Petrovski merupakan pemain
naturalisasi dan ibunya berasal dari Sabah. Pemain itu juga adalah bekas
penjaga gol pasukan remaja kelab Olympic Sydney sebelum dilamar Melaka United.
- SUMBER:
http://www.utusan.com.my/sukan/bola-sepak/penjaga-gol-melaka-meninggal-dunia-1.304468#sthash.Nh4vgLCH.dpuf
No comments:
Post a Comment