ROZAIMI (kanan) antara nama
besar yang merancakkan saingan dalam Liga Premier musim ini.
BERBANDING Liga Super, saingan
dalam Liga Premier dilihat lebih rancak dan meriah tahun ini.
Kedah, Sabah, Johor Darul Takzim
II, Perlis, PDRM, Negeri Sembilan, Felda United dan juga Pulau Pinang sudah
pasti tidak mahu mengalah dalam usaha untuk kembali ke saingan Liga Super musim
depan.
Lapan pasukan ini pernah
dianggap sebagai antara pasukan elit dalam saingan Liga Malaysia sebelum ini,
dan sudah pasti reputasi tersebut mahu dipulihkan semula.
Tahun ini, mereka terpaksa
bersaing dalam Liga Premier ekoran prestasi hambar sepanjang musim lalu.
Kehadiran mereka dalam Liga
Premier dilihat telah merancakkan saingan dalam liga kedua negara itu kerana
masing-masing mahu memburu kedudukan terbaik dalam usaha untuk kembali ke liga
utama.
Selepas mengharungi dua
perlawanan setakat ini, PDRM yang mendapat sentuhan jurulatih, Dollah Salleh
dilihat unggul dan kini mereka menerajui kedudukan liga dengan enam mata.
Kedah terus menghimpit mereka
yang turut meraih enam mata, tetapi terpaksa mengisi kedudukan kedua liga atas
perbezaan jaringan.
Felda United, Negeri Sembilan
dan UiTM masing-masing memungut empat mata hasil satu kemenangan sementara
Sabah, Johor DT II, Perlis dan Pulau Pinang masih belum memperlihatkan watak
selaku pencabar.
Buat masa ini, masih terlalu
awal untuk membuat ramalan, tetapi PDRM dan Kedah sudah mula mencuri tumpuan.
Berbanding PDRM, Kedah dilihat
sebagai pilihan untuk menguasai saingan Liga Premier musim ini.
Dibarisi ramai tenaga muda yang
telah memperlihatkan gaya permainan yang agak matang, tidak mustahil skuad
Hijau Kuning itu akan menjadi pasukan yang perlu diawasi oleh barisan
pencabarnya.
Turut memperkuatkan cabaran
Kedah ialah bekas pemain kebangsaan, Baddrol Bakhtiar yang dianggap antara
pemain tengah terbaik negara.
Sabah juga tidak boleh
dikeluarkan daripada senarai pasukan yang mampu melontarkan cabaran.
Walaupun masih belum meraih
sebarang mata selepas mengharungi dua perlawanan, tetapi Sabah memiliki
kelebihan tersendiri.
Mereka dianggap sebagai pasukan
yang lambat panas dan sebaik menemui rentak sebenar, skuad bimbingan Milomir
Seslija itu mampu melakar kejutan.
Jentera serangan mereka dilihat
mantap yang diketuai bekas peledak Harimau Muda A, Rozaimi Abdul Rahman.
Apa pun, setiap pasukan
memiliki kelebihan masing.
Pasukan yang berjaya
mempamerkan konsistensi, itu petanda mereka bakal menguasai saingan Liga
Premier.
Perjalanan masih jauh dan
segala kemungkinan boleh berlaku.
Negeri Sembilan, Perlis, KL
SPA, Felda United adalah antara pasukan yang perlu diberi perhatian selain
Johor DT II mahupun Pulau Pinang.
Pulau Pinang kini dibimbing K.
Devan, dan barisan pemain mereka memiliki semangat yang liar biasa kerana
mereka ada hajat besar untuk dilaksanakan sebaik kembali bersaing dalam Liga
Premier.
Para pemainnya mahu melihat
bola sepak Pulau Pinang kembali digeruni seperti ketika era Datuk Shukor Salleh
suatu ketika dulu.
Setelah lesu sejak beberapa
tahun lalu, skuad Pulau Mutiara itu menanam tekad untuk meletakkan semula
reputasi bola sepak Pulau Pinang ke satu tahap tertinggi.
Ekoran saingan hebat serta
semangat juang dalam kalangan pemain, maka tidak hairan saingan Liga Premier
musim ini mungkin menjadi pentas terbaik untuk melihat mutu bola sepak yang
diidamkan.
KOSMO ONLINE 2.2.14
No comments:
Post a Comment