RAKAN-rakan seperjuangan
mendiang Choon Wah turut hadir bagi memberi penghormatan terakhir semalam.
PEMERGIAN bekas pemain bola
sepak negara era 70an, Wong Choon Wah disifatkan sebagai satu kehilangan yang
tiada ganti.
Menurut rakan seangkatan dengan
mendiang dalam pasukan Selangor, Datuk Khaidir Buyong, kelincahan mendiang
sentiasa digeruni pihak lawan serta membantu pasukan negeri menjuarai Piala
Malaysia sebanyak lima kali iaitu pada tahun 1968, 1969, 1971, 1975 dan 1976.
"Mendiang merupakan pemain
tengah terbaik yang negara pernah lahirkan. Dia cukup kreatif melorongkan bola
dan boleh memperdayakan benteng pertahanan lawan.
"Mendiang merupakan
seorang yang berdedikasi di atas padang dan sehingga ini belum ada pemain
setanding mendiang," kata Khaidir ketika ditemui pemberita selepas
memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang di rumah urus mayat Kwong
Tong, Sungai Besi, Kuala Lumpur semalam.
Choon Wah, 67, meninggal dunia
awal pagi kelmarin ketika mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur akibat
serangan sakit jantung.
Khaidir berkata mendiang
merupakan seorang individu yang gemar berbicara mengenai sukan bola sepak
negara bersama bekas rakan sepasukan selain turut sentiasa mengikuti
perkembangan semasa skuad bola sepak kebangsaan.
Berkongsi pandangan yang sama
ialah bekas pemain Selangor, K. Gunalan yang menyifatkan mendiang merupakan
seorang guru yang banyak memberikan tunjuk ajar kepadanya meskipun tidak pernah
beraksi bersama.
"Beliau (mendiang)
merupakan seorang yang peramah dan sering memberikan tunjuk ajar terutamanya
ketika bertindak selaku pengurus dan jurulatih (untuk pasukan Selangor) sewaktu
Kejohanan Piala Sultan Selangor sepanjang 12 tahun yang lepas.
"Saya berasa terharu
dengan pemergian seorang legenda (bola sepak) yang banyak berbakti kepada
negara," katanya yang menjadi nadi utama pasukan Selangor sebagai gergasi
bola sepak tempatan pada era 90-an.
Bekas pemain hoki negara era
70-an, K. Balasingam pula berkata, keakraban antara mereka mula terjalin ketika
bersama mewakili negara pada Sukan Asia 1974 di Tehran, Iran yang menyaksikan
pasukan hoki dan bola sepak masing-masing meraih pingat gangsa.
"Kedua-dua pemain pasukan
(bola sepak dan hoki) ketika itu amat rapat dan kami sering mengikuti
perkembangan semasa antara satu sama lain namun kenangan paling manis ialah
ketika kedua-dua pasukan meraih pingat gangsa.
"Saya turut mengenali
beberapa pemain bola sepak yang lain seperti (Datuk) Santokh Singh dan (Datuk)
Soh Chin Aun. Apa yang saya boleh katakan, mereka merupakan antara pemain
terbaik negara ketika itu (era 70-an)," katanya.
Dalam pada itu, anak sulung mendiang,
Julia Wong Fai Mei, 36, berkata mendiang bapanya merupakan seorang individu
yang sangat berminat dengan sukan bola sepak sejak kecil lagi.
"Beliau sentiasa menyebut
tentang bola dari kecil sampai sekarang selain turut berharap (prestasi) skuad
bola sepak (negara) boleh kembali semula pada era 70-an," katanya yang
bekerja sebagai ejen insurans.
Mendiang Choon Wah meninggalkan
balu, Lee Nyok Ching 63, serta dua lagi anak perempuan iaitu Samantha Wong Fai
Lai, 36 dan Jazz Wong Fai Siang, 32.
Mayat mendiang dijangka dibakar
di Krematorium Cheras, Jalan Kuari, Kuala Lumpur esok.
KOSMO ONLINE 2.2.14
No comments:
Post a Comment