Ad

Saturday, 1 February 2014

Aksi di Larkin ditunda

 
PARA pemain Johor DT terpaksa kembali ke bilik persalinan selepas lawan mereka, T-Team enggan meneruskan perlawanan separuh masa kedua kempen pusingan kedua Piala FA

di Stadium Tan Sri Hasan Yunos, Larkin Johor Bahru malam tadi.


PERLAWANAN pusingan kedua Piala FA antara Johor Darul Takzim (JDT) menentang T-Team di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin, Johor Bahru malam tadi terpaksa ditangguhkan.

Pengumuman itu dibuat setelah keseluruhan pasukan T-Team enggan turun ke padang bagi memulakan perlawanan separuh masa kedua yang disaksikan 30,000 penyokong.

Menurut laporan Mingguan Malaysia, pasukan pelawat bertindak demikian setelah berlaku pertelingkahan antara jurulatih kecergasan T-Team dengan pengendali pasukan JDT, Cesar Fernando Jimenez dan mendapat campur tangan pemain selepas tamat separuh masa pertama.

Menurut Komissioner Perlawanan, Zainal Mukri, pihaknya belum mendapat laporan rasmi secara bersurat daripada pasukan T-Team dan perlawanan terpaksa ditangguhkan.

“Kami akan menghantar laporan perlawanan kepada FAM dan jawatankuasa pertandingan tempatan akan memutuskan sama ada perlawanan akan diteruskan dengan jumlah jaringan setakat ini,”katanya ketika ditemui selepas perlawanan tersebut dibatalkan malam tadi.

Pada separuh masa pertama, JDT mendahului dengan jaringan 2-1 menerusi jaringan Luciano Figueroa pada minit ke-16 dan 21.

T-Team yang dihadiahkan sepakan percuma setelah Evaldo Rodrigues dikasari kapten pasukan JDT, Baihakki Khaizan pada minit ke-27 merapatkan kedudukan melalui rembatan jarak jauh kapten pasukan, Mohd. Marzuki Yusof.

Dalam satu lagi aksi pusingan kedua, juara Piala Malaysia 2013, Pahang melangkah bergaya ke suku akhir selepas menewaskan Lions XII 2-1 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Jalan Besar, Singapura.

Pahang yang turut menewaskan Lions XII untuk menjuarai Piala Sumbangsih pada 17 Januari lalu memperoleh gol pertama menerusi jaringan Hafiz Kamal pada minit ke-50 dan Azidan Sarudin (m-55).

Singapura menjaringkan gol sagu hati menerusi Safuwan Baharudin pada minit ke-85 hasil sepakan percuma.

Menanti Pahang di suku akhir ialah sama ada PDRM atau PBA Pulau Pinang yang akan membuat perhitungan pada aksi pusingan kedua di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pada Selasa ini

KOSMO ONLINE 2.2.14

No comments:

Post a Comment