Ad

Saturday, 1 February 2014

Rohingya dilayan seperti haiwan

 
Gambar tidak bertarikh menunjukkan, sebahagian penduduk kampung dan ahli keluarga memerhatikan jenazah seorang lelaki Rohingya Islam yang maut ditembak oleh polis di negeri Rakhine, barat Myanmar. - Agensi
NAYPYIDAW 31 Jan. - Myanmar dilapor telah memulakan operasi pembersihan etnik Rohingya Islam apabila seorang saksi yang terselamat mendakwa, sebanyak 700 wanita dan kanak-kanak dibawa menaiki beberapa trak tentera ke lokasi yang tidak dinyatakan dalam satu kejadian pada 22 Januari lalu.

Menurut saksi itu, Aisha, kepada badan kebajikan Partners Relief Development (PRAD), dia melihat banyak trak tentera membawa askar dan anggota kumpulan pelampau bersama senjata api dan belantan memasuki kampungnya, Killadong Majarpara, di barat Myanmar yang didiami lebih 2,500 orang etnik tersebut.

"Ketika saya melarikan diri, kumpulan askar dan anggota pelampau memukul dan membunuh penduduk kampung. Saya mendengar berita setakat ini bahawa 700 wanita dan kanak-kanak dibawa ke satu lokasi yang dirahsiakan.

"Saya bertemu semula ibu, ayah, isteri dan tujuh orang anak saya keesokan harinya dan mengupah sebuah bot untuk membawa kami dari pantai Myanmar ke selatan Bangladesh, namun anak perempuan saya yang berumur dua tahun hilang ketika dalam perjalanan,'' katanya.

Aisha berkata, dia kemudian merayu kepada pihak berkuasa Bangladesh supaya dia dapat berteduh di sebuah kem pelarian tidak berdaftar di Cox's Bazar yang diduduki sekurang-kurangnya 100,000 pelarian Rohingya Islam lain.

Katanya, dia dapat melihat kampungnya itu musnah terbakar, malam kelmarin.

"Saya ada menghubungi adik lelaki saya yang masih terperangkap di sempadan Myanmar dan dia mengesahkannya. Saya juga dapat melihat kampung saya terbakar dari kem ini kerana jaraknya hanya sejauh 28 kilometer dari sini,'' katanya.

Seorang aktivis Rohingya yang enggan dikenali pula menyatakan, anggota etnik tersebut dilayan seperti haiwan.

"Saya merasa sangat takut. Kami tidak mempunyai sebarang perlindungan di negara ini. Kerajaan kami sendiri menindas kami,'' katanya seperti yang dilaporkan laman web akhbar Burma Times.

Etnik Rohingya Islam sering menjadi mangsa penindasan pihak berkuasa Myanmar dengan ada antara wanita dan gadis dirogol serta dibunuh dengan kejam.

Tahun lalu, saluran televisyen BBC melaporkan, kanak-kanak Rohingya Islam dibakar hidup-hidup ketika konflik agama dan etnik itu merebak ke tengah Myanmar.

Kebanyakan serangan itu turut dirakam di hadapan anggota polis Myanmar. - AGENSI

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140201/lu_03/Rohingya-dilayan-seperti-haiwan#ixzz2s7MFxP7k © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment