Ad

Saturday, 1 February 2014

Sepi tanpa Chua Boon Huat

Oleh AMRAN MULUP
sukan@utusan.com.my
MELAKA - Kebiasaannya rumah di Lorong 2 Taman Laksamana Cheng Ho, Bandar Hilir di sini ceria setiap kali sambutan Tahun Baharu Cina.

Begitupun sambutan tahun ini tidak semeriah tahun-tahun sebelumnya.

Sejak kematian pemain hoki kebangsaan, mendiang Chua Boon Huat, 33, sambutan Tahun Baharu mereka tidak ada serinya lagi.

Ahli keluarga mendiang yang berkumpul di rumah neneknya di Taman Laksamana Cheng Ho tidak meraikan sambutan tersebut secara meriah seperti sebelum ini.

Abang sulung mendiang, Aliff Nur Najmi Chua, 43, berkata, sambutan kali ini kurang seri sejak ketiadaan adik bongsunya, yang maut maut dalam kemalangan jalan raya Ogos tahun lalu.

''Kami sekeluarga tidak raikan Tahun Baharu Cina semeriah dulu kerana mendiang baru enam bulan meninggalkan kami semua.

''Cukuplah, sambutan secara sederhana dan kami sekeluarga sekadar berkumpul di rumah nenek dan kami lebih beramah mesra," katanya.

Begitupun, keluarga penyerang hoki kebangsaan itu terkejut apabila dikunjungi Naib Presiden Kanan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Nur Azmi Ahmad.

Bagi Aliff Nur Najmi, kunjungan Nur Azmi memberi erti besar membuktikan MHC masih menghargai jasa yang telah dicurahkan adiknya sepanjang pembabitan dengan skuad hoki negara.

Sementara itu Nur Azmi berkata, skuad hoki negara masih terasa kehilangan Boon Huat yang maut dalam kemalangan jalan raya di Lebuh Raya Damansara-Puchong (LDP) berhampiran Taman Mayang Ogos lalu.

''Dia (Boon Huat) banyak berjasa kepada skuad hoki negara dan sumbangan keringat yang dicurahnya tetap kita kenang sampai bila-bila," katanya ketika ditemui di rumah nenek mendiang di sini.

Ujarnya, kebiasaannya mendiang akan mengadakan rumah terbuka khusus untuk pegawai dan pemain hoki setiap tahun.

''Nampaknya tidak ada rumah terbuka yang lazim dibuat mendiang pada hari kedua," ujarnya.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140201/su_05/Sepi-tanpa-Chua-Boon-Huat#ixzz2s7KJOwch © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment