Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN dan
ZAZALI JAMIAN
sukan@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Sekali pun
Philippe Troussier hampir pasti tidak akan dilantik sebagai jurulatih Harimau
Malaya, itu bukan satu jaminan buat Datuk Ong Kim Swee (gambar) menjadi calon
utama mengisi kekosongan jawatan yang ditinggalkan oleh Datuk K. Rajagobal
semenjak 31 Disember lalu.
Asas di sebalik cerita itu
dikongsi sendiri oleh Kim Swee yang dihubungi oleh Mingguan Malaysia, semalam.
Memandangkan beliau baru sahaja
menandatangani kontrak lanjutan selama dua tahun untuk terus membimbing Harimau
Muda A sehingga penghujung tahun 2015, ia tampak mustahil buat Kim Swee menjadi
pilihan menggalas cabaran skuad senior.
Malah, beliau berasakan sudah
cukup semua pihak mengaitkan namanya kerana bimbang ada tanggapan sesetengah
pihak yang seolah-olah beliau begitu tergila-gilakan jawatan berkenaan.
Kalau boleh saya tidak mahu
mengulas lanjut berhubung perkara ini kerana tidak mahu dilabel terlalu
mengejarkan jawatan (jurulatih Harimau Malaya) tersebut, nanti apa pula
pandangan pihak lain.
Tambahan pula saya baharu
menandatangani kontrak bersama Harimau Muda selama dua tahun pada minggu lalu,
jadi saya rasa tidak mungkin saya yang akan menjadi pilihan sebagai jurulatih
kebangsaan.
Namun, semuanya terpulang
kepada perancangan FAM dan saya bersedia menerima apa sahaja keputusan yang
mereka berikan nanti selaku majikan saya, " katanya.
Walaupun begitu, Kim Swee
mengakui beliau sentiasa bersedia sekiranya mendapat arahan terbaru daripada
FAM untuk melakukan sebarang persiapan terhadap skuad Harimau Malaya terutama
menjelang aksi terakhir pusingan kelayakan Piala Asia 2015 menentang Yemen, 5
Mac ini sambil menganggap itu bukan satu permasalahan besar buat dirinya.
Bagi saya bebanan itu memang
sentiasa ada, tambahan pula tugas sebagai jurulatih sentiasa berhadapan dengan
tanggungjawab dan jika FAM menyuruh saya melaksanakan tugas bersama Harimau
Malaya, saya percaya FAM ada Pelan A dan B.
Saya tidak boleh jadikan
bebanan sebagai alasan kerana yakin FAM pasti bijak melakukan perancangan
walaupun pada musim ini skuad Harimau Muda akan beraksi di Sukan Asia 2014 dan
Liga Kebangsaan Australia (NPL), " katanya lagi.
Troussier, bekas pengendali
Jepun dan Maghribi difahamkan mengenakan pelbagai syarat yang tidak masuk akal
seperti enggan FAM meletakkan sebarang Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) dan boleh
menamatkan kontrak pada bila-bila masa jika ada sebarang isu seperti tidak
berpuas hati mengenai permukaan padang atau prestasi pemain.
Dia juga menuntut FAM membayar
gaji untuk baki kontrak biarpun atas tindakannya sendiri yang menamatkan
kontrak berkenaan lebih awal.
Berdasarkan maklumat yang
diterima, Kim Swee berkemungkinan besar akan memikul tugasan membentuk skuad
Harimau Malaya sekurang-kurangnya bagi menghadapi Filipina dalam aksi pada 1
Mac ini di Stadium Majlis Perbandaran Selayang dan Yemen, empat hari kemudian.
Ini kerana FAM difahamkan tidak
sempat melantik jurulatih dalam masa terdekat akibat perbincangan dengan
Troussier menemui jalan buntu dan berkemungkinan akan ada kejutan dengan
calon-calon yang tidak pernah berada dalam senarai pendek dijangka bakal
menjadi pilihan.
Salah seorang calon yang
sebelum ini disebut-sebut iaitu bekas pengurus AS Roma, Zdenak Zeman juga tidak
lagi berada dalam radar FAM selepas tidak memberikan maklum balas kepada
tawaran yang dikemukakan FAM menerusi e-mel
SUMBER:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140202/su_05/Mungkin-bukan-saya---Kim-Swee#ixzz2s7HuBNk5
© Utusan Melayu (M) Bhd
KOSMO ONLINE 1.2.14
No comments:
Post a Comment