Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my
KUALA LUMPUR - Turun tanpa
diberi sebarang harapan besar selepas kalah dua kali berturut-turut dalam
saingan Liga Super, Pahang memilih detik terbaik untuk melakukan kebangkitan
semula apabila meleburkan rekod tanpa kalah LionsXII semenjak 18 bulan lalu di
Stadium Jalan Besar dengan kemenangan 2-1 pada pusingan kedua Piala FA,
semalam.
Dua jaringan melalui pemain
tengah, Mohd. Hafiz Kamal (minit ke-51) dan Azidan Sarudin (minit ke-55)
membawa Pahang melangkah ke suku akhir.
Mereka akan berdepan pemenang
di antara PDRM atau PBAPP FC yang bakal berentap, Selasa ini.
gol tunggal LionsXII
disumbangkan kapten, Safuwan Baharudin.
Kali terakhir LionsXII kalah di
laman sendiri adalah pada saingan Liga Super musim 2012 di tangan Johor Darul
Ta'zim (JDT) dengan keputusan 0-1 dan sejak itu, mereka cukup kebal tiap kali
bermain di Jalan Besar.
Namun, rekod itu langsung tidak
menggentarkan anak-anak buah Ronald Smith yang menggempur kubu LionsXII tetapi
kecemerlangan Izwan Mahbud yang menyelamatkan dua percubaan berbahaya pelawat
memastikan rentak permainan seimbang di babak pertama.
Pahang yang masih dihantui
kekalahan 0-1 kepada Selangor pada Selasa lalu, membuka jaringan menerusi
sepakan percuma menarik yang diambil oleh Hafiz.
Empat minit kemudian, Azidan
mengukuhkan kedudukan Tok Gajah menerusi gerakan Matias Conti yang bijak
membuka ruang kepada bekas pemain itu untuk melepaskan rembatan mengelirukan
Izwan.
LionsXII yang tergamam dengan
dua gol pantas Pahang, menggandakan asakan dan merapatkan jurang melalui
Safuwan pada minit ke-86 apabila bola sepakan percuma yang diambil singgah
mengenai tiang sebelum melantun mengenai kepala penjaga gol Pahang, Khairul
Azhan Khalid dan bergolek masuk ke dalam gawang.
SUMBER:
http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140202/su_04/Pahang-benam-LionsXII-Jalan-Besar-tidak-lagi-kebal#ixzz2s7GfRlpM
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment