Ad

Saturday, 1 February 2014

Makna sebuah penghargaan kepada ahli sejarah

 Oleh NORAINI ABD. RAZAK
noraini.razak@utusan.com.my
 
Allahyarham Dr. Nik Anuar Nik Mahmud bersama buku-buku rujukan di pejabatnya, Universiti Kebangsaan Malaysia.

ANTARA khidmat pesanan ringkas (SMS) yang diterima sempena Aidilfitri, dua daripadanya mencetuskan emosi dan air mata.

Yang pertama daripada Datuk Dr. Hassan Ahmad. SMS diterima pada 29 Ogos pukul 3.40 petang. Ucapan selamat hari raya khusus untuk saya sambil mendoakan semoga kami mendapat rahmat Allah.

Dua hari selepas SMS diterima, berita kematian pejuang bahasa itu terpapar di dada akhbar. Umpama mimpi. SMS yang dikirim sebelum itu ditatap. Susunan ayat Allahyarham diperhati satu persatu.

Teringat kali terakhir kami bersembang di telefon kira-kira empat bulan lalu. Semangatnya tidak pernah padam. Sememangnya dia seorang pejuang. Bukan sekadar mahu memartabatkan semula kedudukan bahasa Melayu, malah dalam banyak hal yang menyentuh agenda Melayu, sesungguhnya dia amat lantang.

Saya pernah menerima panggilan daripada bekas Ketua Pengarang, Datuk Khalid Mohd. seawal pagi, gara-gara tajuk rencana Allahyarham berubah tidak seperti mana yang tertera sebelum saya meninggalkan pejabat.

Nada suara Khalid agak kecewa. Tajuk yang dipilih cukup menggambarkan perjuangan Hassan. Namun ada kekeliruan di kalangan 'pembuat keputusan' menyebabkan tajuk asal diubah tanpa dimaklumkan kepada sesiapa.

Untuk melepaskan artikel Allahyarham juga tidak mudah. Nadanya amat berani, keras, lantang - namun matlamatnya hanya satu - mahu anak bangsa membuka mata.

Allahyarham amat jujur dalam perjuangannya. Sebab itu tidak ada alasan untuk menolak artikelnya daripada disiarkan biar mungkin banyak pihak yang tersinggung.

Dia tidak mempunyai kepentingan diri, jauh sekali mahu mengejar populariti. Selamanya dia begitu. Dari mula saya bekerja, mengenali dia sehingga empat bulan lalu dan kali terakhir membaca SMSnya dengan senyuman, dia tidak pernah berubah.

Bagi orang lain yang lebih rapat, akrab dan mengenali Hassan, tentunya mereka lebih arif tentang perjuangan serta prinsip hidup insan berhati mulia itu. Saya hanya cebisan daripada insan yang mengenalinya.

SMS kedua, daripada salah seorang anak Allahyarham Profesor Datuk Dr. Nik Anuar Nik Mahmud. SMS didahului dengan ucapan selamat hari raya dan memohon maaf atas sebarang salah silap. Si pengirim SMS memberitahu bahawa UKM baru saja menganugerahkan Profesor Emeritus kepada Allahyarham. Saya menarik nafas panjang. Sememangnya sebak membaca SMS itu.

Nik Anuar terlalu dekat dengan diri saya. Dia menjadi 'guru' ketika saya mula menjinakkan diri dengan isu Malaysia-Singapura. Ketika di meja rencana, artikel mengenai isu-isu yang membelenggu hubungan antara dua negara menuntut penyelidikan yang tiada taranya.

Allahyarham tidak pernah kedekut masanya. Ketuklah pintu bilik di UKM, layanan sempurna jika dia mempunyai masa. Ketika menyediakan tiga siri rencana tentang perjanjian air Malaysia-Singapura, Allahyarham umpama sifu, memberi bimbingan dan tunjuk ajar supaya tulisan saya tidak tersasar.

Pernah terdesak memerlukan maklumat segera, Allahyarham ketika itu menghadiri kenduri. Namun itu bukan halangan. Anaknya menjadi pengantara. Membuat salinan bahan yang diperlukan dan dikirim melalui faks kepada saya.

Artikel itu menarik perhatian pemerintah di Singapura. Malah Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr. Mahathir Mohamad turut mengulas mengenainya. Tentulah ia hasil sentuhan dan air tangan Allahyarham.

Semasa di The Hague, Belanda, dia menjadi 'kamus bergerak untuk kes Batu Putih'. Sesungguhnya dia terlalu banyak membantu, menjelaskan satu persatu. Tidak pernah ada jurang antara Nik Anuar dan wartawan. Malah dia sering bersama media.

Banyak yang terbuku di hatinya. Perihal penyelidikan yang amat terhad serta kadangkala pihak tertentu kedekut mengeluarkan belanja untuk penyelidikan antara yang menjadi keluhannya.

Kini selepas hampir setahun pergi, Allahyarham dianugerahkan Profesor Emeritus. Saya berkongsi sebak dengan anak Allahyarham.

Sebak membawa kepada air mata lantaran anugerah itu sepatutnya menjadi miliknya semasa hayatnya masih ada. Namun, adat dunia - hanya mengenang selepas tiada dan apalah ertinya.

SUMBER:http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0908&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_08.htm#ixzz2s5Sdeqhr © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment