Ad

Saturday, 1 February 2014

Tok Gajah tempang jumpa LionsXII

 Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my
KUANTAN - Tok Gajah terpaksa terus bergantung kepada jentera serangan sedia ada yang diterajui Mattias Conti bagi menghadapi cabaran getir LionsXII pada pusingan kedua Piala FA di Stadium Jalan Besar, Singapura, malam ini .

Penyerang import, Dickson Nwakaeme dan pemain sayap, R. Surendran yang diharap dapat menyuntik ketajaman penyudah buat Pahang setelah tumpul dalam dua perlawanan terdahulu masih perlu menunggu seminggu lagi sebelum dapat beraksi semula.

Penolong Jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan berkata, walaupun kedua-duanya semakin pulih dan mula menjalani latihan bersama rakan sepasukan namun mereka masih tidak dapat diturunkan pada perlawanan menentang LionsXII malam ini.

"Kedua-kedua mereka masih menjalani rawatan tetapi sudah mula berlatih bersama rakan pasukan yang lain.

"Insya-Allah, mereka mungkin akan diturunkan pada perlawanan Liga Super menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) di Stadium Darul Makmur, 7 Februari ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Pada aksi Piala Sumbangsih 17 Januari lalu, Nwakaeme mengalami kecederaan pada paha kiri selepas bermain 15 minit, manakala Surendran pula cedera pada lutut kanan pada perlawanan persahabatan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Dalam dua aksi Liga Super sebelum ini, Pahang tewas kepada Selangor dan Sime Darby dengan jaringan 0-1 sekali gus menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penyokong berhubung ketumpulan barisan serangan.

Sementara itu, Zainal Abidin berkata, perlawanan Piala FA sememangnya menjadi tumpuan skuad bimbingan jurulatih, Ronald Smith itu setelah gagal pada edisi tahun lalu apabila tewas kepada JDT di peringkat separuh akhir.

SUMBER: http://www.utusan.com.my/utusan/Sukan/20140201/su_06/Tok-Gajah-tempang-jumpa-LionsXII#ixzz2s5PTROgV © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment